Tindakan DBKL rampas belon tidak berperikemanusiaan, salah guna kuasa - Charles Santiago

Iklan
Charles Santiago Charles Santiago
Charles Santiago

SHAH ALAM - Tindakan agresif penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan seorang peniaga belon tanpa lesen pada Jumaat dianggap tidak wajar dan mencerminkan penyalahgunaan kuasa terhadap golongan peniaga kecil.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, DBKL perlu mempunyai sifat bertimbang rasa dan berperikemanusiaan ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Iklan
Iklan

"Ketika peniaga kecil bergelut untuk meneruskan hidup dalam keadaan kadar sewa yang tinggi serta kegagalan kerajaan mengawal harga barang, agensi penguatkuasaan pula memilih untuk bertindak tegas terhadap golongan paling terpinggir.

"Daripada menggunakan budi bicara atau menawarkan penyelesaian seperti membimbing peniaga untuk mendapatkan lesen, pegawai terlibat sebaliknya mengambil pendekatan keras yang hanya memburukkan lagi keadaan golongan rentan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Charles turut menegaskan supaya budaya intimidasi seperti itu perlu dihentikan.

Veteran DAP itu turut mencadangkan pegawai terlibat digantung tugas sementara siasatan bebas dijalankan.

Iklan

"DBKL pula perlu menjalani reformasi menyeluruh termasuk latihan kesedaran bagi memastikan penguatkuasaan dilakukan dengan penuh empati, bukan kekerasan.

"Pendekatan lebih berperikemanusiaan seperti menyediakan lebih banyak zon khas untuk peniaga kecil atau menawarkan permit sementara jauh lebih berkesan berbanding tindakan penguatkuasaan yang tidak bertimbang rasa,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu berhenti menghukum golongan miskin akibat kelemahan pentadbiran sendiri.

"Jika pegawai DBKL tidak mampu menunjukkan rasa berperikemanusiaan, mereka tidak layak diberi kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur.

Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon dijual seorang individu.

Suasana di situ bagaimanapun bertukar menjadi kecoh selepas peniaga tersebut dipercayai tidak memberikan kerjasama.

Susulan insiden itu, DBKL dalam satu kenyataan pada Sabtu menjelaskan sudah memberi teguran sebanyak tiga kali kepada peniaga belon terbabit

Bagaimanapun katanya, penjaja tersebut mula bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa ketika teguran ketiga diberikan.

Menurut DBKL, keadaan itu menyebabkan anggota penguat kuasa berpakaian preman menenangkan dan cuba memisahkan penjaja terbabit daripada mengasari petugas untuk mengelakkan kemungkinan lain daripada berlaku.