TINDAKAN intimidasi pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang peniaga belon tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada Jumaat mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Rakaman video yang tular di media sosial itu menimbulkan perdebatan mengenai kaedah penguatkuasaan yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebahagian masyarakat menyifatkan tindakan pegawai penguat kuasa DBKL sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Mereka berpandangan bahawa peniaga kecil yang hanya mencari rezeki untuk menyara kehidupan, tidak sewajarnya dilayan dengan kekasaran.
Sebaliknya, golongan berkenaan sepatutnya perlu diberi ruang dan bimbingan untuk mendapat lesen yang sah.
DBKL bagaimanapun dalam satu kenyataan mempertahankan tindakan anggotanya dengan menyatakan bahawa peniaga berkenaan telah diberi teguran sebanyak tiga kali sebelum tindakan tegas diambil.
Menurut DBKL, pihaknya sudah memberikan peluang kepada peniaga tersebut untuk mematuhi peraturan.
Bagaimanapun, individu itu didakwa masih berdegil untuk berniaga tanpa lesen.
Tidak dinafikan bahawa DBKL mempunyai tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan awam berjalan dengan teratur.
Namun, penguatkuasaan yang berlebihan dan kelihatan seperti menggunakan kekerasan boleh menjejaskan imej pihak berkuasa serta menimbulkan kemarahan rakyat.
Hakikatnya, prinsip asas penguatkuasaan adalah mewujudkan keseimbangan antara ketegasan dan kebijaksanaan.
Tindakan keras terhadap peniaga kecil yang hanya berniaga demi kelangsungan hidup boleh mencetuskan persepsi pihak berkuasa lebih cenderung menyasarkan golongan lemah berbanding premis haram milik syarikat ternama atau aktiviti komersial tanpa lesen yang lebih besar.
DBKL seharusnya mengambil pendekatan lebih manusiawi dengan menawarkan alternatif kepada peniaga kecil yang tidak berlesen.
Misalnya, mereka boleh menyediakan lebih banyak lokasi khas untuk peniaga kecil menjalankan perniagaan tanpa mengganggu aspek lalu lintas atau ketenteraman awam.
Permit sementara juga boleh menjadi penyelesaian bagi mereka yang benar-benar bergantung kepada perniagaan harian untuk meneruskan kehidupan.
Pendekatan memberi nasihat, amaran bertulis serta sesi penerangan mengenai prosedur mendapatkan lesen adalah lebih efektif berbanding tindakan merampas barangan atau menggunakan kekerasan terhadap peniaga.
Dalam masa sama, peniaga kecil juga harus bertanggungjawab untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.
Meskipun mereka mencari rezeki, aspek pematuhan undang-undang tidak boleh diketepikan.
Kerjasama dan komunikasi antara pihak berkuasa dan peniaga amat penting bagi memastikan kesejahteraan bandar dan kelangsungan perniagaan dapat berjalan dengan baik.
Perlu diingat, matlamat penguatkuasaan bukan sekadar menghukum tetapi juga mendidik.
Justeru, tindakan keras tanpa mempertimbangkan situasi individu yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.
DBKL juga perlu menilai semula pendekatan penguatkuasaan mereka agar lebih seimbang, tegas tetapi tidak menindas.
Tindakan agresif terhadap golongan marhaen hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa malah boleh mencetuskan imej negatif terhadap pentadbiran tempatan.