KUALA TERENGGANU - Kira-kira 300,000 jumlah kenderaan yang dijangka memasuki Terengganu sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebanyak 172,331 kenderaan sudah memasuki Terengganu menerusi laluan utama negeri Terengganu dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, peningkatan jumlah kenderaan itu turut melibatkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
"Aliran trafik dilihat amat tinggi terutama di LPT2 yang mana ia mencecah hampir 100,000 semalam (Sabtu). Namun hari ini keadaan trafik agak baik.
"Kita anggarkan lebih kurang 300,000 kenderaan yang akan masuk ke Terengganu melalui pelbagai laluan keluar yang ada di LPT2 dan jalan Persekutuan yang bersempadan dengan Terengganu iaitu Kelantan, Perak Dan Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar Sempena Op Selamat 2025 di Plaza Tol Kuala Terengganu di sini pada Ahad.
Op Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mac dan berakhir pada 3 April ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, seramai 260 pegawai dan anggota trafik ditugaskan dengan dibantu balai-balai berhampiran bagi memastikan kelancaran trafik serta memantau jalan yang sesak sepanjang Op Selamat tersebut.
"Sehingga semalam bermula 29 Mac lalu belum ada lagi kejadian kemalangan maut berlaku direkodkan tetapi kemalangan biasa ada berlaku di daerah tertentu.
"Kita mengenai pasti sebanyak 25 'hotspot' yang dikategorikan jalan sesak di Terengganu merangkumi enam di Kuala Terengganu; Setiu (2); Kemaman (3); Dungun (3), Hulu Terengganu (2); Marang (4) dan Besut (5).
"Selain itu, sebanyak 21 lokasi dikenal pasti sebagai 'blackspot' yang merupakan jalan berlaku kemalangan maut dan biasa iaitu tiga lokasi di Setiu; Kemaman (2); Dungun (1); Hulu Terengganu (2); Marang (6); Besut (4) Dan Kuala Terengganu (3)," jelasnya.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya turut melakukan rondaan pencegahan jenayah sepanjang tempoh sambutan hari raya.
"Sehingga hari ini kita menerima sebanyak 54 permohonan di seluruh Terengganu untuk rondaan pencegahan jenayah. Kita akan memantau dan memberi tumpuan kepada keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan oleh penghuni kerana pulang ke kampung halaman.
"Jadi orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung dan meninggalkan tempat kediaman atau premis perniagaan dinasihatkan agar melaporkan pergerakan kepada polis.
"Mereka perlu membuat laporan pergerakan di balai polis berhampiran atau laporan secara dalam talian melalui aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP)," jelasnya.