KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10 motosikal Yamaha RXZ disita dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, pada malam Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi tersebut dijalankan berikutan aduan orang awam mengenai bunyi bising daripada motosikal yang menggunakan ekzos ubah suai.
Menurutnya, dalam operasi itu, polis telah memeriksa sebanyak 80 motosikal di sekitar kawasan Jambatan Angkat dan Restoran Ali Spices.


"Kita telah menerima laporan terdapat sekumpulan lebih kurang 80 motosikal jenis Yamaha RXZ yang menggunakan ekzos ubah suai membuat bising di sekitar bandar raya ini.
"Aktiviti tersebut telah mengganggu ketenteraman orang ramai yang menunggu untuk berbuka puasa di tempat awam," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Op Selamat 24 Aidilfitri di Plaza Tol Kuala Terengganu di sini pada Ahad.
Mohd Khairi berkata, sebanyak 46 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Kesalahan itu termasuk tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, tiada brek, tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut spesifikasi (fancy) dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
"Selain itu, ujian air kencing yang dilakukan ke atas 10 pemilik motosikal yang disita mendapati mereka negatif,” tambahnya.