'Aidilfitri kali ini semua adik-beradik balik tapi rumah sudah tiada'

Iklan
Keadaan rumah yang didiami keluarga Fatimah yang terbakar dalam kejadian pada Sabtu. Foto ihsan JBPM Keadaan rumah yang didiami keluarga Fatimah yang terbakar dalam kejadian pada Sabtu. Foto ihsan JBPM
Keadaan rumah yang didiami keluarga Fatimah yang terbakar dalam kejadian pada Sabtu. Foto ihsan JBPM

JENGKA - Persiapan Aidilfitri sebuah keluarga di Felda Jengka 7, di sini, musnah apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran yang berlaku menjelang waktu berbuka pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Yasran Mustafa, 53, yang juga pemandu ambulans di Hospital Kuala Lipis, memberitahu dia baru sahaja selesai membantu ibunya, Fatimah Awang, 70, mengemas rumah, manakala sterinya, Nor Asmah Abdullah, 50, pula sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa.

Iklan
Iklan

"Saya balik dari Lipis untuk sambutan Aidilfitri dan ibu tinggal bersama adik bongsu, Rosnani, serta keluarganya di rumah. Ketika kejadian, mereka sedang berada di bandar membeli barangan persiapan raya,” katanya.

Yasran ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud yang turut menyampaikan sumbangan gabungan tersebut pada Ahad.

Iklan
Razak (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan gabungan masjid kepada Fatimah (dua dari kiri) dan Yasran (tiga dari kiri). Foto ihsan Razak Razak (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan gabungan masjid kepada Fatimah (dua dari kiri) dan Yasran (tiga dari kiri). Foto ihsan Razak
Razak (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan gabungan masjid kepada Fatimah (dua dari kiri) dan Yasran (tiga dari kiri). Foto ihsan Razak

Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Datuk Mohd Banuri Aris dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Ariffin Abd Wahab.

Yasran berkata, ketika kejadian, mereka segera keluar menyelamatkan diri kerana asap yang semakin menebal.

Iklan

"Keadaan sangat kelam-kabut, saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa, termasuk dokumen penting.

"Semua barang rumah dan keperluan raya musnah termasuk sebuah motosikal. Kami hanya tinggal sehelai sepinggang, namun sebuah kereta berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk setempat,” katanya.

Tambah Yasran, meskipun rumah musnah, beliau bersyukur kerana tiada nyawa yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

"Sedih memang sedih kerana sambutan Aidilfitri kali ini semua adik-beradik balik tapi rumah sudah tiada, tapi syukur tidak membabitkan sebarang nyawa," ujarnya

Menurutnya, buat sementara waktu, keluarganya kini menumpang di rumah jiran.

Mohd Banuri (tengah) bersama Razak (kiri) melihat kesan kemusnahan akibat kebakaran terbabit.

Beliau juga menghargai sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk gabungan masjid, kerana dapat meringankan beban keluarganya menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, Razak berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka yang membantu penduduk berdepan dengan musibah seperti kebakaran, banjir dan ribut.

"Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat sedikit meringankan beban dan mengurangkan kesedihan keluarga ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Banuri berkata, pihak Felda dan semua pihak berkaitan telah bersetuju untuk melaksanakan insurans untuk setiap peneroka bagi melindungi harta mereka daripada kebakaran dan bencana alam.

"Premium tidak begitu tinggi, lebih kurang dalam RM65 setahun untuk melindungi harta mereka daripada kebakaran, bencana alam dan lain-lain perkara yang termasuk dalam klausa insurans.

"Mesyuarat baru sahaja lulus dan pelaksanaan insurans ini akan bermula bulan depan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengurangkan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank (106016739941) atas nama Yasran Mustafa.