KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini agar bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.
Titah baginda, dalam keghairahan untuk menyambut lebaran, sudah pasti ramai peniaga melipatgandakan usaha mencari pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.
"Apa jua urusniaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan dengan memohon lesen atau permit perniagaan sah manakala PBT pula perlu menyediakan tempat yang sesuai dan selamat untuk semua pihak.
"Sekiranya timbul suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar tanpa kekecohan apatah lagi kecederaan," titah baginda melalui kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan peniaga di negeri ini supaya memiliki lesen dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan.
"Tindakan yang diambil perlu penuh budi bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan," titah baginda.
Sementara itu, Kesultanan Pahang memaklumkan, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),Jumaat lalu.
Pemuda berusia 28 tahun berasal dari Jerantut itu kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguat kuasa yang cuba merampas barang jualannya.
Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif Bendahara turut menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya.
Nasib penjaja belon itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Melalui hantaran di Facebooknya, Wan Rosdy telah meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang melihat dan memberi bantuan sewajarnya sesuai dengan keperluan lelaki terbabit.
"Saya difahamkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan daripada pihak berkuasa.
"Sultan Pahang juga telah bertitah agar penjaja dan PBT memahami tanggungjawab masing-masing agar insiden seperti ini dapat dielak pada masa akan datang.
"Semoga kehadiran Syawal yang sedang kita nantikan membawa kejernihan kepada semua pihak berkenaan isu ini," katanya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.