KUALA LUMPUR - Semua pihak digesa menghentikan sebarang spekulasi liar berhubung anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengasari peniaga tidak berlesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Jumaat.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Fitri Ramli berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, bebas dan berintegriti.
Beliau berkata, pihaknya turut memuji tindakan segera DBKL yang menggantung tugas anggota penguat kuasa terlibat sebagai langkah awal memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara adil dan telus.
"Kami maklum kenyataan yang dikeluarkan DBKL, tetapi selari dengan prinsip ihsan dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, AMK Wilayah Persekutuan tampil menzahirkan keprihatinan dan simpati terhadap insiden tersebut.
"Kami tidak menafikan keperluan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi kami juga menegaskan bahawa penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan hemah, hikmah dan penuh rasa kemanusiaan.
"Undang-undang berkenaan berkuat kuasa bagi kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.
Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang penjaja, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas lelaki itu dipercayai tidak memberi kerjasama.
Dalam pada itu, Muhammad Fitri berkata, pihaknya turut menyerahkan sedikit sumbangan kewangan kepada penjaja belon, Muhamad Za’imuddin Azlan ketika menziarahinya di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Menurutnya, ia bagi membantu meringankan beban kos rawatan serta keperluan harian peniaga berkenaan.
"Dalam pertemuan tersebut, kami berpeluang bertanya khabar kepadanya dan keluarga.
"Kami dimaklumkan bahawa keadaannya kini stabil meskipun mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap kecederaan yang sebenar," ujarnya.