BENARLAH kata pepatah, air yang dicincang tidak mungkin putus atau membawa maksud hubungan kekeluargaan tidak akan terputus walaupun berlaku perselisihan atau pergaduhan.
Begitulah yang dilalui oleh penyanyi bersuara lunak, Shila Amzah mengenai hubungan keluarganya yang keruh sejak tahun 2023 dan kini sudah semakin pulih.
Menurut pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah, 35, kesabarannya untuk memulihkan hubungan dengan kedua-dua ibu bapa akhirnya berhasil.
"Bila masa itu belum waktunya, kita jangan paksa kerana kekeruhan itu akan pulih dengan sendiri.
"Alhamdulillah saya boleh katakan sekarang semakin baik. Sudah tentu kita dalam proses penyembuhan masing-masing kerana ibu juga baru bercerai.
"Ia bukan waktu yang mudah untuk saya sendiri juga, tetapi kita sama-sama layan perasaan sampai semua okay, dari segi hubungan kekeluargaan, alhamdulillah semua okay," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak hanya berjaya memulihkan hubungan dengan ibunya, Fauziah Sarman, Shila mengakui hubungan dengan bapanya, Datuk ND Lala juga semakin baik.
Lebih bermakna kerana momen itu turut disaksikan suami tercinta, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai.
"Syukur alhamdulillah kerana Ubai juga banyak membantu memulihkan hubungan dengan mak.
"Dia pun seronok lihat mak datang ke rumah jumpa cucu, Ubai juga bantu untuk bayarkan zakat fitrah buat mak.
"Bagi saya bila hal keluarga ini, susah untuk kita cakap lebih-lebih. Cuma percayalah dengan percaturan ALLAH, bila tiba masa yang tepat, DIA akan beri kita petanda itu," jelas Shila.
Bagaimanapun dalam masa sama, Shila tidak menafikan hubungan dengan adik-beradiknya masih belum pulih sepenuhnya.
"Adik-beradik lain sikit sebab mereka sudah dewasa. Adik-beradik harus pelajari sesuatu, bila sudah matang boleh duduk berbincang.
"Apa yang saya boleh katakan, kami semua okay, tetapi tidak rapat. Berbeza dengan ibu bapa, kita masih boleh lentur dan bermula semula," katanya lagi.
Terdahulu, sejak awal tahun 2023, pergolakan keluarga Shila menjadi perhatian umum bermula dengan dakwaan ND Lala sudah berkahwin dengan rakan sekolahnya.
Bukan itu sahaja, tidak lama selepas Shila menikahi Ubai, berita penceraian ND Lala dan Fauziah mengejutkan ramai.
Tidak terhenti di situ, perkongsian adik Shila mengenai isu rumah akhirnya telah mendedahkan hal kekeluargaan penyanyi Patah Seribu itu yang selama ini tersimpan rapi.
Insiden itu juga telah meretakkan hubungan kekeluargaan Shila sehingga mereka tidak bertegur sapa hampir setahun.
Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata lain selain Shila iaitu Amir Syafiq, 33, Amir Syahir, 31, dan Nur Syuhada, 28.