[VIDEO] Sambil cari rezeki, sambil bantu pengguna berhari raya

Iklan

KOTA BHARU - Ketika kebanyakan orang memilih untuk berehat dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga, bapa tujuh anak ini tetap setia menunggu pelanggan yang memerlukan perkhidmatan menukar tiub tayar motosikal dan kereta walaupun pada malam hari raya.

Bagi Zaki Mamat, 47, Aidilfitri bukan sekadar waktu untuk bersuka ria, tetapi juga peluang untuk mencari rezeki sambil membantu pengguna jalan raya yang mengalami masalah tayar pancit.

Iklan
Iklan

"Malam raya dan lepas solat Aidilfitri, saya dah mula bergerak mencari pelanggan.

"Anak-anak akan berkumpul di rumah pada raya keempat, jadi sementara itu, saya kerja macam biasa, dapatlah duit lebih untuk belanja mereka,” katanya ketika ditemui di tepi Jalan Kuala Krai di sini.

Iklan

Berbekalkan motosikal Yamaha RXZ yang dibelinya hasil simpanan sendiri, Zaki sudah lebih 30 tahun menjalankan perkhidmatan menukar tiub secara bergerak.

Zaki bersama motosikal dan peralatan menukar tiub menunggu pelanggan di tepi jalan di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID Zaki bersama motosikal dan peralatan menukar tiub menunggu pelanggan di tepi jalan di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Zaki bersama motosikal dan peralatan menukar tiub menunggu pelanggan di tepi jalan di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Dengan hanya membawa peralatan asas seperti spanar, jet, dan beberapa tiub ganti, dia mampu menyelesaikan kerja dalam tempoh 20 minit sahaja.

Iklan

Namun, kerja sebagai tukang tukar tiub bergerak tidaklah semudah yang disangka.

"Kadang-kadang penat menunggu pelanggan, tepi jalan ini dah macam ‘pejabat’ saya.

"Ada juga tiga hari berturut-turut langsung tak ada pelanggan, seperti dalam bulan puasa,” katanya.

Menurut Zaki, kebiasaannya pelanggan tidak putus pada hari Jumaat kerana kebanyakan kedai tayar ditutup namun hari-hari lain, rezekinya bergantung pada keadaan cuaca dan keperluan pelanggan.

Zaki membaiki tayar motosikal pada waktu malam. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Jika hujan turun, dia terpaksa berhenti berteduh dan menunggu panggilan seterusnya.

Dalam sehari, jika keadaan baik, dia boleh memperoleh sekitar lima pelanggan, tetapi ada juga hari di mana dia hanya mendapat satu atau dua panggilan sahaja.

Tambahan pula, ada pelanggan yang membatalkan perkhidmatan di saat akhir, menyebabkan dia mengalami kerugian minyak motosikal dan masa.

Bercerita tentang harga perkhidmatan, Zaki berkata, bayaran dikenakan berpadanan dengan perkhidmatan bergerak yang ditawarkan.

"Tukar tiub motosikal saya caj RM25 hingga RM35 bergantung pada saiz atau RM40 jika jarak terlalu jauh.

"Kalau tampung tiub antara RM15 hingga RM20 dan untuk tayar kereta pula RM30,” jelasnya.

Zaki juga bergerak mencari rezeki pada waktu malam.

Walaupun kerja ini penuh cabaran, Zaki tetap bersyukur kerana ia membolehkan dia menyara isteri dan tujuh anaknya.

Isterinya, Nik Fatihah Nik Johari, 37, merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan, menyebabkan dia perlu bekerja keras untuk memastikan keluarga tidak terputus bekalan.

"Saya tak kisah kerja siang malam, asal dapat cari makan.

"Bila ada pelanggan yang benar-benar perlukan bantuan di jalan raya, rasa puas hati dapat tolong,” katanya.

Zaki meneruskan tugasnya seperti biasa, seawal 7.30 pagi dia sudah keluar bekerja, berehat sebentar tengah hari sebelum menyambung semula pada sebelah petang hingga 12 tengah malam.