Hutang raya: Nikmat sementara, derita berpanjangan

Iklan
Sikap 'biar papa, asal hati senang' perlu diubah kerana hanya membawa keseronokan sementara tetapi beban hutang berpanjangan. Foto hiasan

MENJELANG Aidilfitri, semakin ramai individu dilaporkan mengambil pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen bagi menampung perbelanjaan perayaan.

Lebih membimbangkan, ada yang sanggup mendapatkan pinjaman daripada sumber tidak sah seperti along, sekali gus mendedahkan diri kepada risiko ugutan dan tekanan kewangan berpanjangan.

Iklan
Iklan

Pendedahan Sinar Harian pada Ahad menunjukkan, kes pinjaman wang tidak berlesen atau along meningkat lebih 32 peratus dalam tempoh kurang sebulan, dipercayai berpunca daripada orang ramai yang membuat pinjaman sempena persiapan sambutan Aidilfitri.

Menyentuh mengenai perkara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia berdasarkan sebanyak 90 kes direkodkan sepanjang 1 hingga 28 Mac lalu dengan jumlah pinjaman melebihi RM400,000.

Iklan

Sikap berbelanja tanpa perancangan kewangan yang baik menjadi punca utama individu terjebak dalam hutang.

Demi memenuhi kehendak seperti pakaian baharu, makanan dan perhiasan rumah, ada yang sanggup berhutang, meskipun sedar kemampuan kewangan mereka terhad.

Iklan

Lebih merisaukan, budaya berbelanja melebihi kemampuan semata-mata untuk kelihatan mewah di media sosial turut menyumbang kepada trend ini.

Hakikatnya, tindakan meminjam untuk kepuasan sementara boleh membawa padah apabila peminjam gagal melunaskan bayaran balik mengikut tempoh yang ditetapkan.

Kesannya, mereka mungkin terpaksa mengorbankan keperluan asas selepas perayaan, termasuk sewa rumah, bil utiliti dan perbelanjaan harian.

Dalam jangka panjang, beban hutang ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan kewangan individu tetapi juga boleh memberi kesan kepada keluarga.

Terbaharu, Presiden Gabungan Muafakat Perpaduan (GMP), S Hassan Kuthoos Syed Ahamed Kaberr berkata, aduan peminjam yang terjebak dengan along meningkat lebih 60 peratus menjelang Aidilfitri tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, statistik itu diperoleh menerusi aduan diterima pihaknya dalam tempoh minggu terakhir Ramadan.

Sikap 'biar papa, asal hati senang' yang dipegang oleh sebahagian masyarakat perlu diubah kerana hanya membawa keseronokan sementara tetapi beban berpanjangan.

Akhirnya, keseronokan sementara itu bertukar menjadi beban apabila tiba waktu untuk membayar balik hutang yang semakin bertambah.

Sikap ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat agar mereka tidak terus terperangkap dalam kitaran hutang akibat gaya hidup yang tidak berpijak di bumi nyata.

Oleh itu, masyarakat disarankan untuk lebih berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar tidak dibelenggu hutang selepas musim perayaan.