KUALA LUMPUR - Perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bertukar meriah seawal jam 10 pagi apabila orang ramai tidak melepaskan peluang berkumpul dan menikmati suasana Aidilfitri.
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati kawasan itu dipenuhi oleh warga asing, pelancong, serta segelintir masyarakat tempatan yang mengambil kesempatan bergambar sebagai kenangan perayaan.
Seorang pengunjung dari Indonesia, Ryan Fahad Saprawi, 19, menarik perhatian apabila berpakaian lengkap baju Melayu bersama tanjak.
Menurutnya, minat terhadap budaya Melayu mendorongnya membeli dan mengenakan pakaian tradisional itu setelah melihatnya dalam talian.
"Saya tahu tanjak ini ada sejarahnya dan ia sebahagian daripada identiti Melayu. Jadi saya pakai sebab saya suka dan mahu menghormati budaya ini," katanya.
Ryan yang bekerja sebagai pembersih dan bercuti ke Malaysia bersama keluarganya berkata, sambutan Aidilfitri di Malaysia lebih meriah dengan latar bangunan pencakar langit dan lokasi menarik untuk dikunjungi.


Sementara itu, guru tarian klasik India, Sarasvathi Ratnasamy, 51, turut mengambil peluang merasai suasana Aidilfitri di KLCC.
"Ini kali pertama saya ke KLCC walaupun lahir di Malaysia. Saya selalu sibuk dengan kelas tarian, jadi bila ada cuti, saya mahu berehat dan menikmati kemeriahan di sini," katanya.
Sarasvathi juga berkongsi kegemarannya terhadap kebaya yang menjadi pilihan setiap kali menyambut Aidilfitri di rumah rakan-rakan Melayu.
"Saya selalu beli kebaya kerana ia sangat cantik dan berwarna-warni, menjadikan suasana lebih meriah," ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Elise Lee, 41, rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, berkata KLCC menjadi destinasi utamanya setiap kali pulang ke tanah air kerana bangga dengan mercu tanda itu.
"Hari ini, saya lihat ramai orang tanpa mengira budaya, agama dan kaum bersama-sama menikmati cuti Aidilfitri. Suasananya menyeronokkan dan jalan pun tidak sesak," katanya.
Elise turut berkongsi kegemarannya terhadap juadah Hari Raya, terutama ayam masak merah dan rendang.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Semoga sambutan kali ini membawa kebahagiaan buat semua orang," katanya.