BALING - Suasana sedih menyelubungi keluarga kanak-kanak autisme, Mohamad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, setelah jasadnya ditemukan petang 1 Syawal.
Mohamad Fayyad Affan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya dekat Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang.
Mangsa ditemukan dalam sungai dengan jarak lebih kurang 500 meter dari rumah oleh waris dan penduduk kampung yang membuat pencarian pada kira-kira jam 2.50 petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian dan bergegas ke lokasi terbabit.
Menurutnya, pemantauan dan rondaan telah dilakukan sejak pagi hingga tengah hari oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Baling. Selepas balik ke balai, bapa saudara dan waris mangsa seramai lapan orang pula membuat pencarian sekitar kawasan sungai sebelum menjumpainya.


"Setibanya di lokasi kejadian, anggota ditugaskan mengangkat dan membawa keluar mangsa.
"Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Jelasnya, operasi ditamatkan pada jam 4.52 petang.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk proses bedah siasat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak autisme disedari hilang setelah keluar dari rumahnya pada Jumaat.
Kelibat Mohamad Fayyad Affan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berjalan kaki menuju ke jalan kampung kira-kira jam 12.50 tengah hari, pada hari kejadian.