JASIN - Pengunjung di Air Terjun Laman Tiga Budaya, Asahan, di sini pada petang Isnin gempar apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas, dipercayai dihanyutkan kepala air.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, cuaca ketika itu hujan lebat dan kebanyakan pengunjung menyelamatkan diri ke tebing memandangkan paras air semakin meningkat.
Pengunjung, M Shalini, 24, dari Bemban, Jasin berkata, dia yang pertama kali datang ke kawasan rekreasi itu bersama keluarganya terkejut apabila didatangi tiga lelaki, termasuk seorang dalam keadaan luka, yang meminta pertolongan.
Menurutnya, mereka memaklumkan bahawa seorang rakan mereka hilang dihanyutkan air sebelum dia menghubungi panggilan kecemasan.
"Masa selamatkan diri di tepi tebing, saya ada dengar orang bising-bising kata ada orang lemas, tapi saya ingat itu hanya gurauan.
"Namun, bila tiga lelaki ini datang dan beritahu kejadian sebenar, memang kami terkejut dan tak sangka percutian kami ini berlaku tragedi," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, setiba di lokasi pada jam 5.24 petang, pihaknya segera melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu tujuh anggota BBP Tangkak, termasuk dua anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, maklumat daripada pemanggil mendapati terdapat seorang mangsa hilang dan dikhuatiri lemas, manakala tiga lelaki berusia 24 hingga 27 tahun selamat.
"Mangsa yang mengalami cedera ringan telah diserahkan kepada petugas perubatan untuk rawatan.
"Sehingga kini, komander operasi melaporkan kerja-kerja pencarian mangsa lemas masih dijalankan oleh pasukan bomba," katanya.