SHAH ALAM - Pelaburan Pakistan di Malaysia berkembang baik dan kini mencecah kira-kira AS$397 juta (RM1.76 bilion), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sebelum itu menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, yang antara lain membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, persahabatan antara Malaysia dan Pakistan yang semakin erat membuka ruang untuk meneroka pelbagai kerjasama baharu, terutama ketika pertemuannya dengan Shehbaz di Pakistan pada Oktober tahun lalu.
"Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu, terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim.
"Kami juga sempat menilai semula memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini, terutama yang berkaitan dengan pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta bidang sains.
"Insya-ALLAH, kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Selain bertukar ucapan Aidilfitri, kedua-dua pemimpin juga menyentuh mengenai perkembangan terkini di Gaza.
Anwar berkata, Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.
"Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea tentang menghentikan keganasan serta pemulihan semula Gaza," katanya.
Tambah Anwar, beliau juga menantikan kunjungan Shehbaz yang buat pertama kalinya akan ke Malaysia pada 9 Mei depan.
"Mendoakan semoga keberkatan Ramadan dan Aidilfitri membawa rahmat buat hubungan persahabatan Malaysia-Pakistan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara," katanya.