CABARAN baharu buat pemain hoki wanita negara, Fatin Shafika Mahd Sukri apabila mungkin terpaksa melupakan sambutan Syawal kali ini dek kekangan dan tanggungjawab sebagai seorang pegawai polis.
Pemain Blue Warriors itu tidak kisah dengan kehidupan baharunya itu selepas memulakan tugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Kelantan Januari lalu.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan akan bertugas pada hari raya dan telah bersedia untuk perkara itu selepas mengambil keputusan bergelar pegawai polis.
"Saya yang pilih kerjaya polis, maksudnya saya bersedia apa sahaja arahan yang diberikan.
"Ini seperti kehidupan baru saya, dengan keadaan sekeliling dan pemakanan pada saya tiada masalah cuma untuk berkomunikasi itu agak mencabar bagi saya untuk memahami loghat penduduk di sini (Tanah Merah),” katanya.
Di sebalik kemungkinan perlu bertugas Fatin Shafika mengakui telah membuat persiapan awal dan sudah membeli dua pasang baju raya.
"Saya (persiapan raya) sudah selesai. Raya atau tidak nombor dua, janji persiapan kena buat. Tahun ini baju raya dua pasang, warna ‘rich brown’ dan ‘soft yellow’,” katanya.
Menyingkap perjalanan karier Fatin Shafika dalam sukan hoki, beliau mula bermain bersama skuad negara sejak tahun 2013 hingga kini.
"Kalau nak ikutkan karier dalam sukan hoki, boleh dikatakan ia sebahagian daripada kehidupan seharian saya. Masa remaja mahu pun sekarang dihabiskan dengan hoki. Saya bermula pada 2013 hingga 2024 di dalam skuad negara,” katanya.
Malah beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad Blue Warriors yang melakar sejarah apabila meraih kejuaraan treble pertama di pentas Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Mengimbas cita-cita Fatin Shafika untuk menjadi polis sudah ditanam sejak kecil dan akhirnya selepas beberapa kali permohonannya ditolak beliau kini bergelar Inspektor.
"Memang saya minat nak jadi polis, lebih kurang empat kali memohon, namun semuanya ditolak. Bagaimanapun saya tidak putus asa dan terus memohon. Alhamdulillah akhirnya permohonan saya diterima dan kini bergelar sebagai pegawai polis.
"Pada awalnya sukar buat saya membuat keputusan untuk memilih menjadi pegawai polis, tetapi dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan, ia membuat saya lebih yakin untuk teruskan dengan pilihan tersebut.
"Paling penting saya boleh buat ibu bapa dan keluarga tersenyum dengan kejayaan ini,” katanya.
Sebagai rekod Fatin Shafika bersama skuad Malaysian Tigress bakal mengharungi beberapa kejohanan tahun ini termasuk Piala Negara-Negara 2 Wanita pada Jun dan Sukan SEA Thailand akhir tahun ini.