DBKL bersih 8.8 tan sampah di Lorong TAR, kitar semula 250kg sisa

Iklan
Operasi pembersihan intensif ini dilaksanakan sejurus selepas penutupan bazar

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya membersihkan sebanyak 8.8 tan sampah dan mengitar semula 250 kilogram (kg) sisa pada hari terakhir Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR).

Langkah ini menunjukkan komitmen tinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kebersihan ibu kota terjaga meskipun berdepan jumlah pengunjung yang besar sepanjang Ramadan.

Iklan
Iklan

Operasi pembersihan intensif ini dilaksanakan sejurus selepas penutupan bazar, melibatkan tenaga kerja DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd.

PBT itu memaklumkan bahawa pasukan pembersihan bertindak pantas mengutip dan mengasingkan sampah, termasuk plastik, kertas dan aluminium untuk dihantar ke pusat kitar semula.

Iklan

Menurut DBKL, tumpuan utama operasi adalah memastikan kebersihan longkang, laluan pejalan kaki serta kawasan sekitar bazar agar bebas daripada sisa sampah dan kekotoran.

"Langkah ini juga selaras dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan dan berdaya huni," menurut kenyataan DBKL dalam satu hantaran di laman Facebook pada Isnin malam.

Iklan

Dalam kenyataan sama, DBKL turut menekankan kepentingan amalan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.

Pihak DBKL menggesa peniaga serta pengunjung untuk mengamalkan konsep"sifar sisa" bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.

DBKL turut menekankan kepentingan amalan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.

"Kita berharap usaha ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sampah dan kitar semula bagi menjadikan Kuala Lumpur lebih bersih dan mesra alam," ujar DBKL.

Inisiatif ini bukan sahaja memastikan kebersihan kawasan tumpuan tetapi juga mencerminkan kesungguhan DBKL dalam memelihara keindahan bandar raya, terutama di lokasi strategik seperti Lorong TAR yang menjadi mercu tanda utama semasa musim perayaan.