Daiyan Trisha rindu momen raya dulu-dulu

Iklan
Daiyan Trisha

PELAKON dan penyanyi terkenal, Daiyan Trisha, menyambut Syawal tahun ini secara sederhana bersama keluarga di kediamannya di Bangi, Selangor.

Berkongsi momen raya yang dirinduinya, wanita berusia 31 tahun itu mengakui tidak dapat lari daripada mengenang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Katanya, pada kebiasaannya, dia bersama keluarga akan meraikan lebaran di kampung halaman ibunya di Kuantan, Pahang.

"Terkenang memori raya zaman kanak-kanak yang mana saya adalah orang paling gembira bila tiba raya. Teruja main bunga api dan buat macam-macam aktiviti kerana sambutan raya di kampung ibu memang sangat meriah.

Iklan

"Sekarang, apabila usia meningkat dewasa, cara sambutannya sudah lain sedikit, tetapi perasaan teruja tetap sama untuk sambut raya beramai-ramai,” ujarnya.

Tambah Daiyan, suasana Aidilfitri buatnya mula berubah tatkala menginjak dewasa, lebih-lebih lagi kerana dirinya kini menjadi perhatian umum.

Iklan
Daiyan tampil dengan single raya pertama bersama Alfie Zumi.

Luahnya, jika dahulu pergi ke rumah terbuka benar-benar untuk beraya, kini beliau terasa seperti sesi bertemu peminat.

"Saya rindu suasana pergi rumah terbuka sekadar untuk beraya, meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan.

"Sekarang, bila pergi rumah terbuka, terasa lebih seperti sesi bertemu peminat. Tetapi, saya tetap bersyukur dapat berjumpa dengan keluarga jauh,” katanya.

Bercerita tentang juadah raya kegemarannya, bintang Projek: High Council itu berkata, nasi dagang adalah antara menu wajib yang akan disajikan keluarganya pada 1 Syawal.

"Kalau beraya di Kuantan, memang nasi dagang menjadi pilihan utama. Nenek saya memang pakar memasak juadah ini dan nasi dagang paling sedap memang daripada hasil air tangannya.

"Bagaimanapun, sekarang tugasan itu diambil alih oleh ibu. Saya juga akan membantu di dapur dan menyiapkan juadah untuk keluarga,” jelasnya yang turut berkongsi bahawa lemang juga menjadi antara makanan wajib pada pagi raya.

Lagu raya

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin turut melancarkan lagu raya berjudul Jom Raya, sebuah kolaborasi perdana bersama Alfie Zumi.

Ujar Daiyan, lagu tersebut sebenarnya sudah disiapkan setahun yang lalu namun tidak sempat melalui proses rakaman ketika itu.

"Ini merupakan lagu raya pertama saya dan sangat mengujakan.

"Tahun ini, saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkan Jom Raya. Rasanya ini antara projek paling mudah dan paling seronok untuk dihasilkan,” jelasnya yang bertindak selaku komposer serta turut sama menulis lirik bersama Glowrush dan Efry Arwis.

Kongsi Daiyan, idea untuk menghasilkan Jom Raya tercetus melalui pemerhatiannya terhadap segelintir pengguna media sosial yang gemar menggunakan pick-up line dalam kehidupan seharian.

"Disebabkan itulah saya mahu realisasikan Jom Raya ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik. Saya mahu hasilkan sebuah lagu raya yang mengandungi pick-up line dan disukai oleh semua pendengar,” jelasnya lagi.