MANCHESTER City berdepan tamparan hebat apabila penyerang utama mereka, Erling Haaland, disahkan mengalami kecederaan buku lali ketika musim memasuki fasa penentuan.
Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan dalam aksi suku akhir Piala FA ketika membantu City menewaskan Bournemouth 2-1 pada Ahad.
Haaland yang baru sahaja meledak gol ke-30 musim ini untuk menyamakan kedudukan, terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan pemain tengah Bournemouth, Lewis Cook.
Dalam satu kenyataan rasmi, Manchester City tidak mendedahkan tempoh pemulihan Haaland, namun memberi jaminan bahawa bintang Norway itu dijangka kembali sebelum musim berakhir.
"Jangkaan semasa adalah Haaland akan kembali cergas bagi membantu pasukan dalam baki musim ini, termasuk Kejohanan Kelab Dunia FIFA musim panas nanti," menurut kenyataan kelab.
City turut mengesahkan bahawa Haaland telah menjalani pemeriksaan awal di Manchester pada pagi Isnin dan kini mendapatkan konsultasi pakar bagi menentukan tahap kecederaan sebenar.
"Penilaian lanjut sedang dilakukan bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai kecederaan ini," tambah kenyataan itu.
Ketika ini, City berada di kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris dan sedang berusaha memastikan tempat dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Skuad kendalian Pep Guardiola bakal berdepan Leicester dan Manchester United minggu ini, sebelum menerima kunjungan Crystal Palace serta bertandang ke Everton.
Mereka juga dijadualkan bertemu Nottingham Forest dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley pada 26 April depan.
Kehilangan Haaland pasti menjadi cabaran besar buat Guardiola dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan domestik dan mencabar di peringkat Eropah.