Laporan berita tak beretika di laman sosial beri kesan kepada agensi berita

Iklan
Tengku Kamil Ismail (tengah) bersama barisan pemenang pada Majlis Pengurniaan Anugerah Media Pahang DRB-Hicom 2020 di Hotel Zenith di sini malam tadi.

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Laporan berita tidak beretika di laman sosial memberi kesan kepada agensi berita serta pengamal media arus perdana.

Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin berkata, disebabkan persaingan era digital dan media sosial juga menyebabkan kakitangan di agensi media terpaksa dikecilkan ditambah dengan keadaan ekonomi negara yang semakin suram.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walau bagaimanapun, pengamal media masih mempunyai ruang untuk mengubah dan mengembalikan kegemilangan dengan mengekalkan etika kewartawanan dalam setiap laporan berita yang disampaikan.

"Jadi, kita (pengamal media) kena bersaing dengan wartawan tidak bertauliah di media sosial yang kerap melaporkan berita tanpa etika.

Iklan

"Masalah ini sebenarnya menjadi ancaman dan memberi kesan kepada masyarakat dalam jangka masa panjang. Justeru, bagi pengamal media yang masih berkhidmat, bersama-samalah kita bertugas dengan penuh etika kerana ia merupakan ciri penting dunia kewartawanan yang berbeza dengan media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Media Pahang DRB-Hicom 2020 di Hotel Zenith di sini malam tadi.

Iklan

Majlis itu disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Besar, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah sebagai mewakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau dan Multimedia Pahang, Datuk Mohamad Fakruddin Mohd Arif dan Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Mahmood Abdul Razak.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan dengan lebih 200 penyertaan dan hanya 43 karya berkualiti dinobatkan sebagai pemenang.

Sinar Harian turut meraih kejayaan dalam dua kategori iaitu tempat kedua bagi kategori Pelaporan Berita Sukan Terbaik oleh Rosilawati Rosedi dan Pelaporan Berita Rencana Terbaik di tempat ketiga oleh Norawazni Yusof.

Selain itu, Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada Jurukamera Astro Awani, Mohd Zalani Md Atan yang merupakan bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berkecimpung dalam dunia penyiaran sejak tahun 2010.

Dalam pada itu, Nik Naizi berkata, pengamal media adalah kumpulan paling disegani dan dihormati dan sentiasa dicari semua pihak.

Jelasnya, media berperanan sebagai penghubung masyarakat dan kerajaan selain menjadi mata serta telinga kepada kerajaan.

"Media berupaya menegur, mengkritik, mencadangkan dan membina agama, bangsa serta negara menerusi sentuhan pen mereka bagi memastikan pemerintah atau kerajaan tidak tersasar dari landasan.

"Peranan dan kerjaya yang digalas membuatkan pengamal media disegani dan dihormati segenap lapisan masyarakat," katanya.

Selain itu, beliau berkata, DRB-Hicom turut menjadi penggerak kepada usaha mengiktiraf peranan media di Malaysia.

Katanya, malah syarikat terbesar itu juga dan telah menjadi penaja utama anugerah media Pahang sejak 2016.