Kerajaan, Petronas salur bantuan RM5,000, RM2,500 untuk rumah terjejas - PM

Iklan
Anwar pada sidang media kepada selepas meninjau lokasi kejadian pada Selasa.

SUBANG JAYA - Kerajaan Persekutuan dan Petronas akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang rosak, manakala RM2,500 diberikan kepada mereka yang terkesan akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa bagi perbelanjaan sementara.

Iklan
Iklan

"Itu tentunya saya minta semua jentera kerajaan, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), untuk memberikan cadangan dan wakil-wakil penduduk diundang berbincang bersama.

"Sebagai langkah segera, bagi satu atau dua hari ini, Petronas dan, jika perlu, Kerajaan Persekutuan akan melihat keperluan tambahan bagi rumah-rumah yang rosak sepenuhnya.

Iklan

"Mereka akan diberikan RM5,000 segera supaya dapat digunakan untuk perbelanjaan sementara. Manakala bagi mereka yang terkesan, iaitu lebih 100 rumah, akan menerima RM2,500," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; dan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Iklan

Mengulas lanjut, kata Anwar, keutamaan pihaknya ialah keselamatan.

Jelasnya, keadaan setakat ini adalah terkawal.

"Sebab itu saya memilih untuk pergi sendiri ke tempat kejadian bagi membuktikan bahawa keadaan adalah selamat. Kedua, bagi meredakan tekanan penduduk yang terkesan. Ada rumah yang musnah sepenuhnya, ada yang musnah sebahagian.

"Jadi langkah yang kita ambil dengan kerjasama Kerajaan Negeri ialah menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi itu hanyalah langkah sementara.

"Dari perbincangan dengan KPKT, Kerajaan Negeri dan Petronas, rumah-rumah ini tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa yang terlalu singkat," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan dan Petronas akan berbincang mengenai tindakan sementara, tetapi tanggungjawab untuk memulihkan kawasan perumahan serta kerja-kerja baik pulih atau penggantian akan diambil sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, Petronas dan Kerajaan Negeri.

"Dengan itu, saya harap penduduk tidak perlu bimbang. Cuma ia akan mengambil sedikit masa," katanya.

Katanya lagi, segala keperluan penduduk akan disediakan sebaik mungkin.

"Apa yang diperlukan, saya telah bertanya kepada pihak bomba, polis dan majlis perbandaran. Kita akan sediakan, asalkan tidak menjejaskan usaha pemulihan dari segi keselamatan dan perumahan penduduk yang terkesan.

"Terima kasih juga kepada jawatankuasa kuil yang memberikan kemudahan, perkhidmatan sementara, serta pihak masjid yang dijadikan tempat pemindahan PPS.

"Itulah cara kita. Bila ada masalah, kita bekerjasama untuk menyelesaikannya. Sebab itu saya kata, kita perlu berbaik dengan semua pihak," katanya.

Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi, Selasa.

Balai bantuan yang turut terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.

Kebakaran tersebut melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.