Angka korban gempa bumi Myanmar meningkat kepada lebih 2,700 orang

Iklan
Seorang lelaki menunggang motosikal melalui bangunan yang musnah akibat gempa bumi di Mandalay, Myanmar pada Selasa. Foto AFP

YANGON - Angka korban akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar pada Jumaat meningkat kepada 2,719 orang, dengan 4,521 cedera dan 441 lagi masih hilang, menurut Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Min Aung Hlaing, lapor Xinhua yang memetik laporan media tempatan.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kewangan untuk mangsa gempa bumi yang diadakan di Nay Pyi Taw pada Selasa, menurut laporan media tempatan.

Iklan
Iklan

Sementara itu, pasukan penyelamat China terus menjalankan operasi di Mandalay, kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter minggu lepas. Sehingga pukul 8 pagi Selasa, mereka berjaya menyelamatkan lapan mangsa.

Pasukan Mencari dan Menyelamat China menyelamatkan empat mangsa, Pasukan Perubatan Penyelamat Yunan menyelamatkan seorang mangsa, manakala pasukan kecemasan awam lain menyelamatkan tiga mangsa dan membantu operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat China.

Iklan

Bagi menyelaras operasi pasukan penyelamat China di Mandalay, satu mekanisme kerja telah diwujudkan untuk mempertingkatkan perkongsian maklumat dan logistik bersama bagi memastikan kualiti serta keberkesanan operasi menyelamat.

Ketika ini, keadaan cuaca di Mandalay panas dengan suhu siang hari mencecah lebih 40 darjah Celsius, selain kehadiran banyak nyamuk di lokasi operasi.

Iklan

Sementara itu, pakar dari Pasukan Mencari dan Menyelamat China telah menyelesaikan penilaian keselamatan terhadap kerosakan di empat bangunan pejabat Konsulat Jeneral China di Mandalay serta mengemukakan cadangan bagi tindakan kecemasan. -Bernama-Xinhua