PASTINYA belum terlambat untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, angka ini meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada. Lebih menggembirakan, mereka yang layak menerima bantuan ini bakal memperoleh sehingga RM2,100, peningkatan 75 peratus berbanding RM1,200 pada tahun lalu. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan mampu memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan.
Iklan
Iklan
Pertambahan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak meminggirkan dan sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Dengan peningkatan jumlah penerima serta kadar bantuan yang lebih tinggi, ia membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga, terutamanya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menerusi program ini, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar, yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding hanya 700 buah pada tahun 2024. Peningkatan ini bukan sahaja memudahkan urusan pembelian tetapi juga memastikan akses kepada barangan asas lebih meluas di setiap kawasan.
Bagi golongan yang layak menerima bantuan SARA, ini adalah satu berita yang amat menggembirakan. Sumbangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan, malah membantu mereka merancang perbelanjaan dengan lebih baik. Dengan bantuan ini, lebih ramai individu akan dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil tanpa perlu bimbang tentang keperluan asas harian.
Memandangkan bantuan ini diberikan dalam bentuk barangan asas, ia secara tidak langsung memastikan tidak ada insan yang tidur dalam kelaparan. Namun, penerima harus bijak dalam membuat pembelian supaya bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya. Keutamaan harus diberikan kepada barangan yang benar-benar diperlukan.
Diharapkan bantuan ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang. Dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, langkah sebegini amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga.