Anda pilihlah sama ada mahu suka atau duka

Iklan
Kenderaan yang sepatutnya dibawa ke bengkel untuk pemeriksaan penuh, sering tidak dilaksanakan sebelum memulakan perjalanan jauh. Gambar hiasan

KETERUJAAN menyambut hari raya bersama keluarga di kampung kadangkala menyebabkan kita alpa dengan kenderaan yang digunakan.

Kenderaan yang sepatutnya dibawa ke bengkel untuk pemeriksaan penuh, sering tidak dilaksanakan sebelum memulakan perjalanan jauh.

Iklan
Iklan

Malangnya, perkara yang dianggap kecil itu jika tidak dilakukan boleh mengundang masalah besar sehingga berakhir dengan tragedi.

Jika nasib tidak baik, kenderaan mungkin akan meragam di tengah jalan kerana sudah lama tidak diservis. Kegagalan memeriksa tahap angin tayar juga boleh membawa padah.

Iklan

Jangan sekali-kali jadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai perkara nombor dua. Usah mempertaruhkan keselamatan diri dan insan tersayang kerana keterujaan melampau kita untuk pulang beraya.

Setelah selesai membuat pemeriksaan ke atas kenderaan, tibalah masa untuk seseorang mempunyai sifat toleransi yang tinggi iaitu ketika memandu pula. Bukan sahaja perlu 'bawa otak' di atas jalan raya, tetapi juga jangan lupa mengamalkan sikap sabar dan saling menghormati antara satu sama lain.

Iklan

Pelbagai faktor boleh mengundang berlakunya kecelakaan jalan raya. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan bahawa cara pemanduan dengan mengekor rapat kenderaan lain di hadapan telah dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan yang direkodkan semasa musim perayaan pada 2024.

Beliau berkata, berdasarkan kajian jumlah kemalangan yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, faktor lain sebagai punca kemalangan adalah tidak peka dan tidak prihatin sehingga terbabas sendiri.

Faktor ketiga pula, kata beliau, kemalangan juga berpunca daripada tidak perasan ada kenderaan atau objek lain di hadapan atau di sebelah kenderaan.

Menurut beliau lagi, sebab lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan ialah sikap cuai semasa keluar atau masuk simpang, cuba memotong kenderaan atau menukar lorong.

Untuk itu sebagai seorang pemandu berhemah dan bertanggungjawab, pastikan kita mampu mengawal diri sebaiknya semasa memandu. Usah kerana diprovokasi pemandu lain, kita turut melenting dan berlaku kejadian yang tidak diinginkan. Kita mahu selamat sampai ke destinasi dituju, bukannya menempa episod luka sepanjang bulan Syawal ini.

Penulis juga berharap golongan perantau yang sedang bercuti panjang di kampung sudah pun memastikan keselamatan rumah yang mereka tinggalkan di kota.

Jangan buka peluang kepada si penjenayah mengambil kesempatan dan kita pula berduka pada hari lebaran.

Pihak berkuasa juga sebelum ini sudah mengingatkan supaya pemilik rumah atau premis membuat laporan pergerakan di balai polis berhampiran atau laporan secara online melalui aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP) bagi memastikan keselamatan harta benda mereka.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad sebelum ini meminta orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung dan meninggalkan tempat kediaman atau premis perniagaan agar melaporkan pergerakan kepada pihak polis.

Kata beliau, PDRM memerlukan data ini untuk dijadikan asas tindakan seterusnya. Segala maklumat yang diberikan adalah sulit.

Jika belum berbuat demikian, individu yang sudah berada di kampung masih boleh membuat panggilan ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan atau melalui VSP.

Pastikan raya kali ini kita boleh meraikannya dengan penuh keceriaan di samping ahli keluarga tercinta dan bukannya meratap sedih kerana kegagalan kita bertindak dengan bijak.

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua pembaca setia Sinar Harian.

* Hisyamuddin Ayub ialah wartawan meja jenayah Sinar Harian