Pegawai Penyiasat EAIC berkelayakan, fokus siasatan berkualiti

Iklan
EAIC terus komited memastikan setiap siasatan terhadap salah laku pegawai penguat kuasa dijalankan secara menyeluruh, profesional dan telus seiring cabaran penguatkuasaan pada tahun 2025.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terus komited memastikan setiap siasatan terhadap salah laku pegawai penguat kuasa dijalankan secara menyeluruh, profesional dan telus seiring cabaran penguatkuasaan pada tahun 2025.

Pegawai Undang-Undang Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad berkata, barisan Pegawai Penyiasat EAIC terdiri daripada individu berkelayakan dalam bidang undang-undang serta berpengalaman sebagai peguam bela dan peguam cara, membolehkan mereka menilai kes secara holistik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan tidak hanya tertumpu kepada aspek tata kelakuan tetapi turut mengkaji punca salah laku serta mengenal pasti ruang kosong (lacuna) dalam prosedur dan undang-undang sedia ada yang menyebabkan ia berlaku atau berulang.

"Siasatan EAIC meneliti keseluruhan keterangan termasuk daripada saksi-saksi, pegawai yang disiasat atau diadukan serta dokumen yang diperoleh sepanjang proses siasatan.

Iklan

"Pegawai Penyiasat turut diselia oleh pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan mutu dan ketelusan siasatan terjamin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah beliau, segala syor hukuman tatatertib yang dikemukakan EAIC adalah berlandaskan dapatan siasatan melalui keterangan langsung dan bukti dokumentasi.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun 2025 menyaksikan ulang tahun ke-14 penubuhan EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], yang bertujuan menjadi badan bebas memantau tata kelakuan 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya.

"Sejak mula berkuat kuasa, EAIC telah melalui pelbagai cabaran dalam menangani kes-kes membabitkan integriti dan salah laku pegawai penguat kuasa.

"Mulai 1 Julai 2023, EAIC tidak lagi menyelia Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penubuhan Suruhanjaya Bebas Tata Kelakuan Polis (IPCC) di bawah Akta 839. Oleh itu, EAIC kini menumpukan sepenuhnya kepada agensi-agensi lain di bawah bidang kuasanya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan kes kini lebih menjurus kepada salah laku serius yang melibatkan isu undang-undang, termasuk kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan elemen jenayah dalam tindakan salah laku tersebut.

"Antara cabaran utama EAIC bagi tahun ini adalah siasatan kes berprofil tinggi melibatkan pegawai kanan serta pelbagai agensi.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana isu integriti. Malah, kami akan menyiasat sekiranya terdapat elemen jenayah dalam tindakan salah laku pegawai terbabit,” ujarnya.

Dalam memastikan ketelusan, EAIC turut diberikan kuasa di bawah subseksyen 30(5) Akta 700 untuk membuat hebahan berkenaan dapatan dan keputusan siasatan.

Bagi tahun ini, EAIC akan melaksanakan hebahan keputusan siasatan bersama syor cadangan kepada orang ramai bagi menjamin ketelusan dan menjadi panduan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT).

Menurut beliau, EAIC juga komited melaksanakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi agensi penguat kuasa serta program pendedahan kepada masyarakat menerusi program ERAT EAIC, bagi menyebarkan kesedaran berkenaan integriti dan saluran aduan yang tersedia.

"Selain itu, kerjasama dengan Unit Integriti agensi seliaan EAIC amat penting untuk mencegah isu integriti daripada berulang. Setakat ini, agensi-agensi menunjukkan keterbukaan untuk bekerjasama dan menunjukkan bahawa mereka juga tidak berkompromi terhadap isu salah laku,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tatatertib bukanlah sesuatu yang digemari mana-mana pihak, namun ia perlu demi menjaga integriti pegawai penguat kuasa dan memberi amaran kepada individu lain yang berniat melakukan salah laku.