PELUKAN spontan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memeluk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sidang media khas di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur membuatkan ramai tersentuh hati.
Video dimuat naik di Instagram @chedetofficial dengan kapsyen, 'Terima kasih semua' telah ditonton lebih 337,441 rakyat setakat satu jam lalu.
Dalam video berdurasi seminit itu, Dr Mahathir dilihat terkejut dengan reaksi isterinya dan cuba mengelak daripada dipeluk, namun akhirnya akur apabila dipeluk erat Dr Siti Hasmah dari sisi kanan dan seolah-olah enggan melepaskannya.
Paparan video itu juga menunjukkan bekas Perdana Menteri ke-7 dilihat segan di hadapan ramai orang yang mengelilinginya ketika isterinya memeluknya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir akhirnya membalas pelukan isterinya sebagai tanda 'terima kasih'.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat yang menyifatkan ia sesuatu yang cukup menghibakan, namun tetap mengucapkan terima kasih di atas segala pengorbanan Dr Mahathir sepanjang beliau menerajui negara.
"Terima kasih Tun. Pelukan sayang dan rasa lega dari Tun Siti mungkin. Berakhir drama-drama politik. Selamat berehat Tun. Hopefully TSMY boleh meneraju negara dgn baik," @sherryreddywee.
Kata @sukri_ok pula,"Saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan dan menghormati segala pentadbiran Tun Mahathir yang dahulu, jasamu akan ku kenang. Now, rest well Mahathir."
Tulis @ikan_hiasan_malaysia pula,"Terima kasih Tun. Anda telah membuat keputusan yang terbaik. Jasa yang baik anda akan dikenang oleh semua rakyat Malaysia."