LEBARAN merupakan momen yang sangat dinanti-nantikan oleh ramai orang, khususnya bagi mereka yang ingin berkumpul bersama keluarga.
Namun bagi penyanyi popular, Adira Suhaimi, sambutan Aidilfitri tetap membawa makna yang mendalam, walaupun ceriteranya mungkin berbeza daripada kebanyakan orang.
Sejak kecil, pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu tidak pernah merasai pengalaman beraya bersama ayahnya.
Walaupun hal itu bukan sesuatu yang mudah bagi segelintir individu lain, wanita berusia 33 tahun itu mempunyai pandangan yang berbeza kerana sudah terbiasa dengan ketiadaan sosok seorang ayah dalam kehidupan hariannya.
"Saya lahir, ayah sudah tidak tinggal bersama. Dari buka mata, ada mak saja.
"Jadi sudah terbiasa tanpa kehadiran ayah, tetapi tidak dinafikan ada juga rasa teringin untuk beraya dengan ayah,” kata Adira.
Walaupun begitu, anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik ini tidak pernah mempersoalkan kehadiran si ayah, sementelah ibunya sentiasa mendidik untuk menghormati ayah walaupun tidak membesar bersama.
"Mak sentiasa cerita yang baik-baik dan ingatkan kami walau apa pun, itu ialah ayah. Jadi kita sebagai anak tiada dendam, malah ada hati lagi untuk mencari ayah.
"Cuma usia ayah tidak panjang, jadi tidak sempat cipta banyak kenangan bersama," tuturnya.
Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Adira berkata, seperti kebiasaan dia terbang pulang ke Ranau, Sabah bersama empat anak tercinta iaitu Anggrek, 8; Asan, 7; Anggun, 6; dan Ayoub, 3 tahun.
Hanya sedikit perbezaan tahun ini ialah statusnya sebagai ibu tunggal, namun pelatun Takdir Tercipta itu tetap ceria.
"Anak-anak saya masih kecil, jadi mereka belum faham apa yang berlaku. Apa yang mereka tahu, mereka mahu menyambut hari raya, ada baju baru, dapat duit raya, berseronok dan balik kampung.
"Lagipun saya tinggal bersama keluarga, jadi tidak sempat merasa sedih.
"Saya juga tidak ada masalah sekiranya bekas suami mahu datang beraya di Ranau," tuturnya.
Bagi dirinya, lebaran bukan hanya tentang kemeriahan tetapi juga tentang menghargai momen bersama keluarga dan orang tersayang.
Dalam pada itu, ditanya ura-ura Adira akan kembali berumah tangga dengan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red selepas sambutan Aidilfitri nanti, bekas naib juara Akademi Fantasia musim kelapan itu pantas menafikannya.
Jelas Adira, setakat ini tiada sebarang perancangan ke arah itu dan dia sendiri selesa dengan kehidupannya sekarang.
"Alhamdulillah ramai yang mendoakan, tetapi memang belum ada berita gembira. Kalau orang kenal Datuk Red, dia sebenarnya suka bergurau.
"Lagipun saya selesa hidup begini, sekarang fokus saya adalah untuk besarkan anak-anak, cari rezeki.
"Malah kalau nak mencari jodoh lain pun, saya tidak terfikir sebab keempat-empat anak saya sangat memerlukan ibu mereka, tetapi saya tidak tahu untuk masa akan datang kerana jodoh itu rahsia ALLAH," ujar Adira.
Lagu raya
Sementara itu, berkongsi sedikit perkembangan terkininya, sempena Aidilfitri tahun ini, Adira dan penyanyi Black Hanifah tampil dengan sebuah lagu raya baharu, Syawal Rindu.
Menurut Adira, peluang untuk berduet dengan Black tidak patut dilepaskan kerana penyanyi itu sudah lama berada dalam industri seni dan sangat berbakat.
"Pada awalnya, saya sedikit risau sama ada suara kami boleh serasi dalam lagu tersebut, tetapi selepas proses rakaman dilakukan, semuanya berjalan dengan lancar.
"Black terlebih dahulu merakamkan bahagiannya dalam masa hanya 30 minit, dan selepas itu barulah Adira menyusul.
"Lagu raya ini mempunyai rentak yang lebih perlahan, membawa sedikit kesedihan tetapi masih mengekalkan elemen kegembiraan seperti lagu-lagu raya klasik dahulu," jelasnya.
Dalam masa sama, Adiri mengakui bahawa kebanyakan lagu raya tahun ini lebih ceria dan catchy, maka lagu mereka menjadi sedikit berbeza daripada yang lain.
"Saya berharap lagu raya ini mendapat tempat di hati peminat. Lagipun sudah lama saya tidak keluar dengan lagu raya sendiri," katanya menutup perbualan.