Amorim jelaskan sebab letak Maguire sebagai penyerang

Iklan
MAGUIRE FOTO: AFP

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil menjelaskan keputusannya meletakkan pertahanan, Harry Maguire di bahagian serangan pada penghujung perlawanan menentang Nottingham Forest.

United mengalami kekalahan 0-1 di tangan pasukan tangga ketiga Liga Perdana Inggeris itu di City Ground, hasil jaringan pemain lawan, Anthony Elanga pada babak pertama.

Bagaimanapun, The Red Devils hampir menyamakan kedudukan menerusi Maguire di saat-saat akhir permainan.

Iklan
Iklan

Maguire yang dimasukkan pada minit ke-88 berjaya melakukan percubaan ke arah gawang, namun usahanya digagalkan Murillo yang mengeluarkan bola dari garisan gol beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

"Di penghujung perlawanan, apabila pasukan lawan bertahan di kawasan sendiri, mereka lebih selesa," kata Amorim dalam sidang media selepas perlawanan.

Iklan

"Kami mampu sampai ke kawasan serangan tetapi kami perlu memasukkan bola ke dalam kotak penalti kerana sukar untuk melakukan kombinasi hantaran. Maguire adalah pemain terbaik kami dalam situasi bola mati.

"Di dalam kotak penalti, anda bukan lagi seorang pertahanan, tetapi seorang penyerang. Jadi, kami letakkan seorang pemain yang hebat dalam situasi itu untuk mendapatkan jaringan."

Iklan

United merekodkan 23 percubaan sepanjang perlawanan, dengan enam daripadanya tepat ke sasaran. Namun, mereka gagal menguji penjaga gol Forest, Matz Sels secara berkesan sehingga percubaan Maguire yang hampir menghasilkan gol sebelum diselamatkan Murillo.

Amorim juga mengakui ketumpulan serangan United yang menjadi punca mereka gagal menjaringkan sebarang gol.

"Ia jelas. Kami mencipta beberapa peluang tetapi sepatutnya boleh mencipta lebih banyak berdasarkan penguasaan bola yang kami miliki.

"Kami banyak kali sampai ke kawasan serangan tetapi perlu lebih baik dalam penyudah. Menjaringkan gol adalah aspek penting dan kami kekurangan jaringan.

"Kami memberikan Forest ruang yang mereka mahukan. Mereka mempunyai pemain pantas dalam serangan balas dan kami menekan ke hadapan, tetapi dalam zon akhir, kami tidak cukup baik."