ARSENAL berdepan kebimbangan menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara minggu depan apabila tonggak pertahanan, Gabriel Magalhaes berkemungkinan terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta, mengesahkan perkara itu selepas pemain Brazil berkenaan terpaksa dikeluarkan pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham yang berkesudahan kemenangan 2-1 di Stadium Emirates.
Gabriel dilihat meninggalkan padang seawal minit ke-15 perlawanan, menambah senarai kecederaan Arsenal yang sudah kehilangan beberapa pemain utama musim ini.
Selain Gabriel, pemain pertahanan Belanda, Jurrien Timber, turut mengalami kecederaan lutut dan terpaksa digantikan pada babak kedua perlawanan.
Menurut Arteta, tahap kecederaan kedua-dua pemain itu akan dinilai lebih lanjut.
"Gabby merasakan sesuatu pada hamstringnya, tetapi kami belum pasti tahap kecederaannya. Jurrien pula sudah berdepan kesukaran sejak awal perlawanan dan akhirnya tidak mampu meneruskan aksi.
Arteta berkata, Arsenal kini berdepan empat kecederaan di posisi pertahanan dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini, Riccardo Calafiori mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan Itali, manakala Ben White kembali diketepikan selepas baru sahaja pulih daripada kecederaan panjang.
Selain itu, Arsenal turut kehilangan beberapa pemain penting lain termasuk Takehiro Tomiyasu yang disahkan tidak akan beraksi sehingga penghujung musim, serta dua penyerang utama, Kai Havertz dan Gabriel Jesus, yang mengalami kecederaan hamstring dan ligamen.
Arsenal bakal bertandang ke Goodison Park untuk menentang Everton pada Sabtu ini sebelum menerima kunjungan Real Madrid pada 8 April dalam perlawanan Liga Juara-Juara yang menjadi peluang terbaik mereka untuk meraih trofi musim ini.