'Rindu sangat anak, enam tahun tidak pernah jumpa'

Iklan
Jeo menjalani pemulihan di Puspen Gambang. Foto Sinar Harian.

KUANTAN –"Saya tidak pernah jumpa anak sejak dia lahir enam tahun lalu, tapi bila bebas, saya mahu cari dia."

Demikian luahan seorang bekas penagih dadah yang hanya mahu dikenali sebagai Jeo ketika ditemui di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang.

Iklan
Iklan

Lelaki berusia 32 tahun itu berkata, setiap kali Aidilfitri tiba, perasaan rindu semakin menghimpit, namun terpaksa reda kerana hanya mampu menyambutnya dalam pusat pemulihan.

"Saya rasa lama sangat tidak jumpa, masa lahir saya sempat tengok, tapi lepas itu saya sudah tiada peluang.

Iklan

"Kalau saya kata tidak sedih, itu menipu. Tapi saya sudah biasa dengan situasi begini,” katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

"Dulu kawan-kawan ajak rasa, saya cuba, lama-lama jadi ketagih.

Iklan

"Dari situ hidup saya mula rosak dan ia melarat sehingga saya berkahwin, seterusnya bercerai,” luahnya.

Jeo memberitahu, pernah beberapa kali cuba berubah, tetapi setiap kali kembali ke dunia luar, dia kembali terjebak.

"Tahun lalu, selepas keluar dari pusat pemulihan di Terengganu, saya pulang ke kampung untuk beraya, namun suasana dan rakan-rakan lama menariknya semula ke kancah ketagihan.

"Mula-mula fikir nak berubah, tapi balik kampung, jumpa kawan-kawan... habis semua,” katanya dengan nada kesal.

Kini, selepas hampir setahun di pusat pemulihan ini, Jeo semakin sedar bahawa perubahan sebenar perlu datang daripada dirinya sendiri.

"Masa mula-mula masuk sini, saya tak boleh terima. Rasa tak boleh hidup tanpa dadah.

"Tapi lama-lama, saya belajar, saya sedar saya kena ubah hidup saya,” katanya.

Ujarnya, antara perkara yang membantu dirinya untuk berubah adalah pengajian agama yang diterapkan di pusat pemulihan ini.

Dia mengakui sebelum ini tidak pernah serius mendalami ilmu agama, tapi kini mula menyedari kepentingannya.

"Di sini, saya belajar banyak perkara, termasuk tentang agama, cara kawal diri dan saya memang perlukan seseorang untuk bimbing saya,” jelasnya.