KUALA TERENGGANU - Setiu menjadi daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak jam 12 tengah malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Balai Raya Besar pada jam 11.20 pagi.
PPS di Balai Raya Besar itu telah menempatkan 18 mangsa dari tiga keluarga.
Setakat ini, kebanyakan kawasan di Terengganu mengalami hujan lebat.
Beberapa lokasi di Kuala Nerus iaitu Taman Pusu Tiga dan Taman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak turut dinaiki air susulan banjir kilat.
Sementara itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu 10 stesen di lima daerah merekodkan penerimaan hujan melebihi 100 milimeter mulai 12 tengah malam tadi.
Ia termasuk Kampung Gemuruh dan Jeram, Kuala Nerus; Kampung Bukit Sewa, Marang; Pulau Bahagia, JPS Kuala Terengganu, Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu; Kampung Tembila dan Jambatan Jertih, Besut serta Jambatan Penarik dan Kampung Bukit, Setiu.
Sehingga pukul 1 petang, JPS Terengganu merekodkan paras waspada di Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1).