SEREMBAN - Jika bulan Ramadan lalu seorang suri rumah tidak menang tangan menyiapkan tempahan hamper raya pelanggan, begitu jugalah pada Aidilfitri ini.
Zurina Saidon, 42, mampu meraih pendapatan lima angka sebulan dengan hanya membuat gubahan hamper dari rumah sejak lebih lima tahun lalu.
Menurutnya, tempahan diterimanya setiap kali Ramadan dan Aidilfitri disifatkan luar biasa dan memberinya rezeki berganda.
"Alhamdulillah tempahan yang saya terima dari awal Ramadan sehingga Aidilfitri ini sangat luar biasa iaitu meningkat tiga kali ganda.
Ujarnya, biasanya selepas seminggu Aidilfitri, dia akan mula 'bekerja' semula menyiapkan segala tempahan pelanggan.
Ibu kepada dua anak ini berkata, dia sememangnya meminati seni kraftangan dan mula membuatnya secara serius selepas berhenti kerja sebagai pembantu akaun di sebuah hospital swasta lapan tahun lalu.
"Saya buat keputusan berhenti kerja selepas bersalin anak kedua kerana nak fokus jaga anak.
"Tapi memandangkan kita ini dah biasa ada duit sendiri, jadi selepas enam bulan, saya terfikir untuk buat bisnes hamper dan cenderahati ini secara lebih serius," katanya.
Ujarnya, dia tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan pelanggan kerana ketika masih bekerja lagi telah membuatnya secara sambilan bagi mencari pendapatan sampingan.
Ketika itu kata Zurina, dia mengambil tempahan membuat barang kraftangan berbanding sekarang lebih fokus kepada hamper dan 'bouquet surprise'.
"Kalau dulu saya banyak buat cenderahati seperti bantal, kotak pensel dan samping yang mana saya akan siapkan tempahan pada waktu malam atau cuti hujung minggu.
"Waktu itu selain minat, saya nak cari 'duit tepi' dan sekarang ia dah jadi sumber pendapatan utama saya sebagai suri rumah," katanya.
Sekiranya banyak tempahan diterima, dia akan mengambil pembantu untuk menyiapkannya.
Selain itu katanya, harga bagi setiap hamper bergantung kepada jenis gubahan, saiz dan jenis barang digunakan.
Tambahnya, penghantaran secara percuma bagi tempahan melebihi 20 hamper, bergantung kepada lokasi.