KOTA BHARU - Dilahirkan normal seperti bayi lain namun kini terlantar selepas mengalami serangan sawan, enam tahun lalu.
Ibunya, Azmira Mohd Nor, 30, berkata, segalanya bermula apabila anak bongsu, Muhamad Iman Hafiz Muhamad Anas, 7, mengalami demam panas selama seminggu sehingga tubuhnya bertukar kebiruan pada usia setahun.
"Sebelum ini dia boleh berjalan dan sudah mula pandai menyebut ‘mama’, tetapi selepas mengalami sawan, keadaannya berubah sepenuhnya.
"Sekarang dia langsung tidak boleh bercakap dan perlu bergantung kepada susu khas yang diberikan melalui tiub,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian di sini pada Selasa.
Menurutnya, Muhamad Iman Hafiz dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama lebih sebulan dan sehingga kini masih memerlukan rawatan susulan setiap enam bulan sekali.
Doktor juga mengesahkan anaknya mengalami kerosakan pada saraf tulang belakang dan memerlukan pemantauan pakar tulang selain matanya menjadi rabun.
"Bagi membeli susu khasnya, saya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan, tetapi kadang-kadang tidak mencukupi kerana satu tin berharga RM180 dan dia memerlukan dua tin setiap bulan.
"Saya tidak bekerja dan hanya menjaga dia sepenuh masa, manakala abang sulungnya, Muhamad Akif Amsyar Azwan berusia 11 tahun pula mempunyai masalah pembelajaran,” katanya.
Ayahnya bekerja sebagai buruh binaan manakala ibunya adalah suri rumah, menjadikan sumber pendapatan mereka sangat terhad.
"Saya memang rindu dengan keadaan anak saya sebelum sakit. Dia aktif dan banyak bercakap, tetapi sekarang hanya terbaring dan memakai lampin sepanjang masa.
"Kerusi roda yang diterima daripada pihak Pusat Tranformasi OKU Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sedikit sebanyak membantu pergerakannya, tetapi penjagaan tetap sukar kerana dia perlu diberi susu setiap tiga jam sekali,” katanya.
Menurutnya, dia jarang meninggalkan anaknya kecuali kepada adiknya yang berusia 28 tahun kerana bimbang orang lain tidak tahu cara untuk menjaganya.
"Saya tetap bersyukur kerana dia masih ada bersama saya, tetapi saya tahu keadaannya tidak akan kembali seperti dulu. Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuknya selagi termampu,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Azmira Bank Simpanan Nasional 0300341100022461.