Lebih 300 waris keluarga Mohamad Majun berkumpul sempena hari raya

Iklan
Lebih 300 waris daripada lima generasi Allahyarham Mohamad Abdul Rahman berhimpun sempena program pertemuan keluarga.

KUALA NERUS - Lebih 300 waris Allahyarham Mohamad Abdul Rahman atau dikenali sebagai Mohamad Majun berhimpun sempena program pertemuan keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tok Jiring di sini.

Dewan Masyarakat Tok Jiring menjadi saksi pertemuan kembali keluarga tersebut selepas tujuh tahun tidak bertemu dengan menghimpunkan waris yang berusia antara enam bulan hingga 74 tahun merangkumi lima generasi daripada 26 anak Allahyarham Mohamad Majun menerusi lima perkahwinan terdahulu.

Iklan
Iklan

Acara yang bermula jam 9 pagi itu dimulakan dengan majlis tahlil dan bacaan surah Yasin, sesi tayangan montaj sejarah Mohamad Majun, sesi bersalam dan suai kenal keluarga, sesi bergambar bersama keluarga dan jamuan makan.

Salah seorang anak Allahyarham, Badrul Hisham Mohamad, 56, berkata, pertemuan diadakan setiap dua tahun sekali itu dapat mengeratkan silaturahim sesama keluarga serta membolehkan semua sanak saudara berkenalan antara satu sama lain terutama generasi muda.

Iklan

"Acara ini telah bermula sejak tahun 2010 namun pada tahun 2018 merupakan pertemuan kali terakhir antara kami satu keluarga susulan kekangan lain termasuk Covid-19 melanda negara ketika itu.

"Alhamdulillah... tahun ini kita sekali dapat menghimpunkan lebih kurang 300 ahli keluarga untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Iklan

"Kami sangat gembira kerana acara ini dapat diadakan pada Syawal kali ini yang mempertemukan semula kami dan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga yang besar ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, arwah bapanya telah meninggal dunia pada tahun 1977 ketika dirinya berusia lapan tahun.

Badrul Hisham (tiga dari Kanan) bersama anak saudaranya Dr Khadijah Irfah (dua dari kiri) serta ahli keluarga lain melihat buku diterbitkan Mohamad Majun dan gambar salasilah keluarga.

"Allahyarham merupakan pengusaha jamu dikenali majun yang terkemuka suatu ketika dahulu. Allahyarham juga merupakan penerbit buku dan pernah menerbitkan sebanyak 150 buah buku dan novel di mana buku pertama diterbitkan bertajuk Di Peluk Rindu keluaran 1956.

"Jadi dengan adanya pertemuan ini, anak cucu dapat mengenali sejarah keluarga serta mengenang jasa dan sumbangan pernah dibuat oleh arwah bapa sebelum ini.

"Kita harap selepas ini tidak lagi kekok untuk bertemu waris serta berharap tradisi ini dapat terus dikekalkan sehingga generasi akan datang," jelasnya.

Salah seorang cucu Allahyarham Mohamad Majun, Ir Ilham Akbar Harun, 55, berkata, acara tersebut telah berjaya menghimpunkan ahli keluarga dan sanak saudara yang berada dalam dan luar negara untuk sama-sama berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Saya merupakan cucu Mohamad Majun dengan isteri pertama. Pertemuan ini sangat bermakna kerana dapat mengenali saudara-mara dalam satu keluarga yang besar.

"Walaupun majlis ini ringkas tetapi ia memberi makna yang cukup besar untuk saling bermaafan dan mengeratkan hubungan persaudaraan yang sudah lama terpisah," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang cucu Allahyarham Mohamad Majun, Dr Khadijah Irfah Ismail, 46, berkata, dia yang bekerja di Ireland sebagai doktor perubatan mengambil peluang untuk pulang beraya pada tahun ini untuk bertemu dengan ahli keluarga dan saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa.

"Lama tak balik raya... sebab ada program pertemuan keluarga diadakan membuatkan saya tak sabar nak balik beraya di kampung pada tahun ini.

"Saya sudah balik ke tanah air seminggu sebelum raya. Jadi peluang yang ada ini saya dapat berjumpa dengan saudara-mara yang jarang jumpa serta eratkan lagi persaudaraan sesama ahli keluarga besar.

"Program pertemuan keluarga besar ini perlu diteruskan lagi kerana kita mahu hubungan keluarga Mohamad Majun ini tidak terputus begitu sahaja dan sentiasa kekal sampai bila-bila," katanya.