[VIDEO] Penenun muda Kain Benang Johor

Iklan

JOHOR BAHRU – Lebih ramai penenun muda diperlukan untuk mewarisi seni tenunan tradisional di Johor bagi menghasilkan dan memenuhi pemintaan Kain Benang Johor.

Penolong Pegawai Tadbir Galeri Tenun Johor Yayasan Warisan Johor (YWJ), Roslinda Mohd Rosli berkata, usaha itu penting bagi mengekalkan identiti kain Benang Johor yang bukan sahaja menjadi lambang kebanggaan negeri, malah semakin mendapat permintaan tinggi.

Iklan
Iklan
Mohamad Sharil mula meminati bidang tenunan sejak usia 15 tahun. Mohamad Sharil mula meminati bidang tenunan sejak usia 15 tahun.
Mohamad Sharil mula meminati bidang tenunan sejak usia 15 tahun.

"YWJ bekerjasama dengan Yayasan JCorp bagi melatih pelajar lepasan sijil pelajaran Malaysia (SPM) dalam kemahiran menenun selama enam bulan.

"Mereka yang menunjukkan potensi akan ditaja untuk melanjutkan pengajian ke Institut Kraf Negara di Rawang bagi mendalami bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja mahir kerana YWJ hanya mempunyai tujuh orang penenun tetap buat masa ini.

Roslinda menunjukkan kotak yang digunakan untuk membungkus Kain Benang Johor yang sudah siap.

"Seorang penenun hanya mampu menghasilkan dua helai kain sebulan.

Iklan

Disebabkan itu, jumlah pengeluaran agak terhad dan sukar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Kain ini bukan sekadar pakaian tradisional, tetapi juga melambangkan identiti negeri Johor... sebab itu permintaannya sentiasa ada, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” jelasnya.

Proses menerai benang iaitu meleraikan tongkolan benang sutera yang ditawar dan diasingkan ke dalam bentuk tongkol kecil di dalam peleting.

Beliau berkata, jualan Kain Benang Johor terus menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun iaitu sebanyak 214 helai kain tenun tangan berjaya dihasilkan sepanjang 2024.

Ujarnya, pada musim perayaan kali ini, permintaan meningkat sehingga 20 hingga 30 helai berbanding hanya lima hingga 10 helai pada tahun sebelumnya.

Tambah beliau, bagi memastikan seni tenunan ini terus berkembang dan dikenali, pelbagai inisiatif diambil termasuk menawarkan kursus kemahiran menenun kepada generasi muda, menyertai pameran dan pertunjukan fesyen di peringkat nasional serta antarabangsa.

"Promosi turut dipertingkatkan menerusi platform digital seperti Instagram, Facebook dan TikTok bagi menarik lebih ramai pelanggan serta peminat tekstil warisan.

"Dengan melahirkan lebih ramai tenaga mahir serta memperluaskan promosi, kami yakin industri ini mampu bertahan dan terus dikenali,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penenun muda, Mohamad Sharil Ahmad, 23, berkata, dia mula meminati penghasilan Kain Benang Johor sejak berusia 15 tahun.

Contoh Baju Kurung Teluk Belanga yang menggayakan Kain Benang Johor sebagai kain.

Menurutnya, minat itu timbul selepas sering mengikuti kakaknya ke tempat kerja dan melihat sendiri proses pembuatan kain warisan berkenaan.

"Semasa cuti sekolah, kakak ajak saya ke galeri ini dan saya melihat sendiri bagaimana dia menyiapkan kain tersebut. Daripada situlah timbul minat saya untuk menjadi seorang penenun.

"Pada awalnya, saya agak bimbang kerana cara menenun bagi lelaki dan wanita sedikit berbeza. Ketukan wanita lebih lembut, manakala lelaki sedikit keras... jadi saya perlu menyesuaikan teknik agar hasilnya tetap berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sharil mengakui pada mulanya kurang berminat, namun tetap menceburi bidang ini demi mengekalkan budaya dan warisan negeri untuk generasi akan datang.

"Kebanyakan penenun adalah wanita, tetapi saya mahu buktikan bahawa lelaki juga boleh menguasai kemahiran ini.

"Semoga lebih ramai anak muda tampil mempertahankan seni warisan ini supaya Kain Benang Johor terus dikenali dan dihargai,” ujarnya.

//END//