Keluarga belum dibenarkan tuntut jenazah Fayyad Affan

Iklan
Mayat dipercayai Fayyad Affan dihantar ke Jabatan Forensik HSB pada Isnin.

BALING – Jenazah Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, sementara menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Datuknya, Aziz Saad, 60, berkata, mereka masih belum dapat menuntut jenazah cucunya yang dihantar ke jabatan forensik berkenaan pada Isnin selepas mayatnya ditemui di Sungai Kupang, Baling.

Iklan
Iklan

"Kami hanya menunggu laporan DNA dan maklumat lanjut daripada polis," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar memaklumkan keputusan ujian DNA dijangka diperoleh selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Iklan

"Namun, kami akan cuba mendapatkannya secepat mungkin. Ketika ini, sampel darah ibu bapa Muhammad Fayyad Affan telah diambil, termasuk sampel tulang mayat untuk dihantar ke makmal kimia hari ini," ujarnya.

Jelasnya, ujian DNA perlu dilakukan bagi mengesahkan identiti mayat yang ditemui.

Iklan

"Ini kerana pengecaman berdasarkan seluar yang dipakai oleh jasad kanak-kanak yang ditemui Ahad lalu tidak mencukupi. Kami bimbang ada unsur lain yang perlu dipastikan," katanya.

Buat sementara waktu, jasad kanak-kanak itu masih disimpan di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar.

Pada Jumaat, Muhammad Fayyad Affan, seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) autisme dan mengalami masalah pembelajaran, dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang, Baling.

Kehilangannya disedari ahli keluarga sekitar jam 12.50 tengah hari sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.

Pada hari keempat pencariannya, jasad kanak-kanak dipercayai Muhammad Fayyad Affan ditemui ahli keluarga di Sungai Kupang, kira-kira 500 meter dari rumahnya.