TAMPIN - Ketika ramai yang masih beraya, sekumpulan anak generasi kedua Felda Jelai, Gemas di sini mengambil inisiatif menjaga lalu lintas di simpang tiga ke kawasan felda berkenaan.
Inisiatif itu diambil mereka bagi melancarkan aliran trafik di situ berikutan peningkatan jumlah kenderaan setiap kali Aidilfitri.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Keselamatan Komuniti Felda Jelai, Nor Azman Ab Rahman berkata, tahun ini merupakan tahun keempat mereka 'bertugas' menjaga lalu lintas di kawasan itu.
"Biasanya setiap kali raya, memang di simpang tiga itu sesak teruk dan disebabkan itu kami sepakat untuk turun jaga lalu lintas.
"Biasanya raya kedua petugas kita yang berusia antara 20 hingga 40an mula bertugas bermula tengah hari sehingga petang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, mereka akan jaga bergilir-gilir dan dilakukan secara sukarela.
Ujarnya, setiap kali memulakan operasi, mereka akan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak polis yang turut turun ke lokasi membuat pemantauan.
"Kita kena faham bila musim raya ini di mana-mana tempat pun sesak termasuk di kawasan kampung.
"Jadi kalau nak harapkan polis dari Gemas saja, saya rasa mereka pun tak cukup anggota nak jaga dan disebabkan itu kami ambil inisiatif ini untuk membantu," katanya.
Dia tidak menafikan ada yang bimbang dengan keselamatan mereka dan menyarankan supaya tugasan tersebut dikendalikan oleh pihak polis saja.
Namun katanya, mereka terlebih dahulu telah mendapatkan tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada polis bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
"Kita pun dapat banyak maklum balas orang ramai yang bimbang soal keselamatan bila kali pertama kami ambil inisiatif jaga lalu lintas ini.
"Dari situ kami perbaiki dengan meningkatkan tahap keselamatan misalnya semua petugas dikhendaki mamakai baju pantulan cahaya, kasut bersesuaian dan menggunakan kon serta wisel," jelasnya.
Apa yang menariknya kata Azman, ada yang menghulurkan duit raya, biskut raya dan minuman kepada petugas sebagai tanda terima kasih.
Justeru itu, dia berharap orang ramai tidak mempersoalkan di mana anggota polis apabila melihat orang awam yang mengambil tugas tersebut.
"Di kawasan Felda Jelai ini ada lebih kurang 2,000 buah rumah dan bila musim raya, anak-anak ramai pulang ke kampung, jadi jalan itu akan sesak dengan kenderaan.
"Kami pun dapat kerjasama cukup baik daripada polis," ujarnya.