Usaha perangi rasuah tidak boleh bermusim

Iklan
Usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya ia perlu berterusan dengan penglibatan semua pihak dalam masyarakat agar lebih berkesan. Foto kecil: Muhammad Dzul Aiman

SHAH ALAM – Usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya ia perlu berterusan dengan penglibatan semua pihak dalam masyarakat agar lebih berkesan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, rasuah harus diperangi secara menyeluruh, bukan hanya melalui penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga melalui pendidikan nilai dan kesedaran moral yang berterusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fenomena rasuah yang semakin berleluasa ini bukan sahaja mencetuskan ketidakadilan sosial, tetapi turut meningkatkan jurang ekonomi serta merosakkan integriti institusi negara.

"Rasuah bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi juga pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin dan penjawat awam.

Iklan

"PKPIM memandang serius isu rasuah yang semakin menular dan menjejaskan sistem pentadbiran, ekonomi serta kesejahteraan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menegaskan, PKPIM konsisten dalam usaha membanteras rasuah dan menegakkan prinsip integriti dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat.

Iklan

Menurutnya, sehingga kini, PKPIM telah menganjurkan pelbagai program kesedaran bersama mahasiswa, forum akademik, serta perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menanamkan kefahaman tentang bahaya rasuah.

Kongsi Muhammad Dzul Aiman lagi, antara program berkaitan termasuklah Perkampungan Menara Gading dan Kempen Gerakan Kesedaran Anti-Rasuah.

"Sebelum ini, PKPIM turut menyokong kempen #SatuJariTolakRasuah yang menekankan penolakan rasuah dalam kalangan anak muda," katanya.

Tambahnya, PKPIM sedang merancang untuk memperkenalkan modul pendidikan integriti dalam program latihan kepimpinan mahasiswa dan pelajar sekolah bagi melahirkan pemimpin muda yang beretika serta bertanggungjawab.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, terdapat beberapa pendekatan jangka panjang yang lebih sistematik yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini, antaranya penggunaan teknologi dalam pengawasan.

"Selain itu, kami juga mencadangkan pendidikan anti-rasuah dimulakan seawal di peringkat pendidikan tinggi dan sekolah, latihan kepimpinan berteraskan integriti, kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan bukan kerajaan (NGO) anti-rasuah serta ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.