WASHINGTON - Rumah Putih mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengenakan tarif baharu pada Rabu.
Ia bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu ketika banyak pihak termasuk pengguna dan pelabur mula bimbang dengan perang perdagangan global yang semakin sengit.
Sejak beberapa minggu lalu, Trump telah menguar-uarkan tanggal 2 April sebagai 'Hari Pembebasan' AS yang akan menyaksikan pelaksanaan cukai baharu yang berisiko mengubah sistem perdagangan global.
Rumah Putih memaklumkan pengumuman yang dinanti-nantikan komuniti antarabangsa itu dijadualkan pada jam 4 petang pada Rabu (4 pagi pada Khamis waktu Malaysia).
Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt berkata, tarif timbal balik ke atas negara yang mengenakan duti ke atas barangan AS akan berkuat kuasa sebaik sahaja perkara itu diumumkan Trump manakala cukai berjumlah 25 peratus terhadap import kereta bakal berkuat kuasa pada Khamis.
"Presiden mempunyai pasukan penasihat yang cekap yang sudah mengkaji isu ini selama beberapa dekad. Kini, kami memberi tumpuan untuk mengembalikan semula era kegemilangan Amerika," ujarnya.
Menurut laporan Washington Post, pasukan tersebut mempertimbangkan pelan untuk menaikkan duti sebanyak 20 peratus ke atas produk dari setiap negara.
"Mereka percaya cukai baharu tersebut dapat meraih pendapatan lebih AS$6 trilion (RM26.7 trilion) yang boleh diagihkan kepada penduduk Amerika dalam bentuk rebat," jelas laporan akhbar itu lagi.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent memberitahu tarif timbal balik itu mewakili had maksimum cukai tertinggi AS dan jumlah itu boleh dikurangkan jika negara dikenakan cukai memenuhi tuntutan pentadbiran Trump.
Pakar ekonomi bagaimanapun memberi amaran bahawa pelaksanaan tarif yang tinggi akan melonjakkan harga di dalam dan luar negara, sekali gus menjejaskan ekonomi global.
Laporan Yale University Budget Lab mendapati cukai sebanyak 20 peratus yang telah dikenakan Trump menyebabkan kos isi rumah secara purata mencecah sehingga AS$3,400 (RM15,122).
Ia jelas menunjukkan ekonomi AS sudah kehilangan momentum disebabkan ketidakpastian dan pendekatan huru-hara dibuat pentadbiran Trump terhadap penggubalan dasar ekonomi.
Tindakan melulu Washington turut memberi tempias kepada sektor perkilangan di seluruh dunia termasuk rantau Asia yang mencatatkan kemerosotan pengeluaran pada bulan Mac.
"Harga meningkat sedangkan aktiviti perniagaan semakin perlahan yang berisiko membawa ekonomi ke arah stagflasi (keadaan ekonomi tidak mengalami pertumbuhan disertai kadar inflasi yang tinggi)," menurut Ketua Pakar Ekonomi di LPL Financial, Jeffrey Roach.
Sebelum ini, Presiden ke-47 AS itu telah pun mengenakan tarif ke atas import aluminium dan keluli serta melaksanakan cukai berganda ke atas kesemua barangan dari China yang turut mencetuskan tindak balas tegas dari Kanada. - Agensi