MCMC panggil pentadbir kumpulan FB sebar komentar unsur perkauman

Iklan
MCMC menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan dua pentadbir utama sebuah kumpulan Facebook yang dijadikan platform penyebaran maklumat serta komentar dipercayai boleh membangkitkan ketegangan kaum dan agama seterusnya mencetuskan ketidaktenteraman awam.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi rakaman percakapan ke atas dua individu berkenaan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya pada 9 malam, 27 Mac lepas selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Iklan
Iklan

"Sebuah telefon bimbit dan kad SIM disita bagi tujuan pembuktian kes,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Selain itu, MCMC memaklumkan suruhanjaya berkenaan telah mengemukakan 110 permohonan kepada Meta bagi menurunkan kandungan bersifat perkauman dalam kumpulan Facebook tersebut.

"Daripada 110 permohonan yang dikemukakan, Facebook mendapati bahawa 106 kandungan telah melanggar Piawaian Komuniti Facebook dan diturunkan," menurut kenyataan itu.

Iklan

MCMC menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan yang boleh mencetuskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” tambahnya. - Bernama