ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri meluluskan bajet pelan perancangan hala tuju serta strategi desa berjumlah RM3 juta untuk tempoh tiga tahun.
Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pelan berkenaan menjadi asas kepada kerajaan negeri untuk merancang kawasan desa.
"Pembangunan di kawasan desa membabitkan 667 kampung induk serta lebih 2,000 kampung rantaian dan menerusi pelan kita akan membangunkan kampung-kampung yang akan dipengerusikan oleh sekretariatnya sendiri.
"Dijangka pembangunan kawasan desa ini akan dimulakan di Johor Selatan diikuti Johor Tengah dan Johor Utara. Bajet kira-kira RM3 juta ini adalah untuk tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Amanat 2019 bersama kira-kira 400 warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan, Mohd Radzi Mohd Amin.
Sementara itu, menurutnya, Majlis Penyampaian Amanat itu adalah untuk mengulangi kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah menerusi ikrar yang dijalankan.
"Majlis ini adalah rutin setiap tahun. Ia juga sebagai platform untuk menjelaskan hala tuju perumahan dan pembangunan luar bandar serta perkara yang perlu diberi perhatian ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan.
"Pelbagai perkara saya ingatkan menerusi ucapan saya termasuklah konsep kesederhanaan, aspek integriti dan semangat kerja berpasukan,” katanya.