BUKIT DAMANSARA - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah petang ini bagi membincangkan status kerajaan negeri itu.
Ahmad Faizal berkata, kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri itu belum diketahui.
"Itulah saya nak balik dan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Saya akan kongsi perkembangannya nanti.
"Buat masa ini keadaan baik. Doakan saya kekal (teraju kerajaan negeri)," katanya ketika ditemui di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini.
Beliau turut meluahkan kelegaan dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang selesai dengan istiadat angkat sumpah di Istana Negara hari ini.
"Saya harap negara kita dapat dipulihkan dan apa juga permasalahan diselesaikan.
"Saya juga harap semua rakyat dapat memberikan sokongan kepada Perdana Menteri baharu dan Kabinet yang akan dibentuk," katanya.
Terdahulu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, hanya gabungan parti yang dapat membuktikan majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi boleh membentuk kerajaan di Perak.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak titah gabungan parti perlu buktikan 30 kerusi: Saarani