Kebakaran saluran gas: Bantu tangani kerugian penduduk

Iklan
Keadaan beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat haba panas kesan daripada kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

INSIDEN menggemparkan negara melibatkan kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini masih lagi menimbulkan spekulasi dan pandangan berbeza dari pelbagai pihak.

Api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celsius menunjukkan betapa dahsyatnya kejadian itu dan mengakibatkan kecederaan kepada 117 orang, merosakkan 235 premis dan 399 kenderaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sebanyak 20 agensi telah digerakkan pada Rabu bagi memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kejadian.

Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah di kawasan terlibat.

Iklan

Selain itu, beliau juga berkata, pemeriksaan akhir akan dilakukan ke atas 115 unit rumah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights pada Khamis bagi memastikan keadaan kediaman yang terjejas ini boleh segera untuk didiami semula dalam masa terdekat.

Ini sudah tentu memberi kelegaan kepada penduduk kawasan tersebut terutama mereka yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Iklan

Selain menanti punca sebenar kepada kebakaran itu, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada komuniti penduduk kawasan yang terjejas.

Akibat tragedi tersebut, kebanyakkan penduduk kawasan berkenaan mengalami kecederaan akibat melecur, malah menanggung kerugian besar akibat kediaman dan kenderaan mereka musnah, serta gegaran kuat menyebabkan dinding retak dan cermin rumah pecah.

Pakar Kejuruteraan Kimia dan Keselamatan Proses, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, kerja pengorekan atau kimpalan pada paip gas yang terkakis merupakan dua kemungkinan utama yang menyebabkan kebocoran gas di Putra Heights sehingga mencetuskan letupan dan kebakaran besar.

Ujar beliau, insiden tersebut mengakibatkan fenomena kebakaran jet disebabkan gas asli yang berada dalam keadaan tekanan tinggi.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mangsa dicadangkan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memastikan hak dan keperluan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, terdapat pelbagai kategori mangsa dalam insiden ini, termasuk mereka yang memiliki rumah sendiri, penyewa dan individu mengalami kerugian akibat kediaman serta harta benda musnah dalam kebakaran tersebut.

Justeru, dalam hal melibatkan tuntutan pampasan, penduduk yang terjejas wajar dibantu bagi meringankan beban mereka dalam ujian ini.