'Selepas lama dikhianati, Kelantan bukan lagi negeri pembangkang'

Iklan
NIK ABDUH

KOTA BHARU - Selepas 30 tahun kerajaan Pas Kelantan akhirnya berada dalam komposisi yang sama dengan kerajaan Pusat dan bukan lagi pembangkang biarpun pernah dikhianati.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perjuangan Pas yang bermula dengan ayahandanya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bekas Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990 itu sudah terlalu banyak menempuh pelbagai pengkhianatan.

Iklan
Iklan

"Pas dikhianati dari luar dan dalam (parti). Kelantan (pula) dikhianati (selama) berpuluh tahun.

"Tiba harinya, para pengkhianat (akan) merasakan balasan (terhadap) pengkhianatan (yang) mereka (lakukan),” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Iklan

Beliau turut memetik ayat al-Quran yang berkaitan laluan dibuka oleh ALLAH untuk melihat tanda-tanda awal pengkhianatan daripada musuh walaupun pengkhianatan belum berlaku.

"Anda, sama ada anda dikhianati atau mengkhianati. Jika anda dikhianati, ALLAH membuka jalan untuk anda membalasnya.

Iklan

"Adapun jika anda mengkhianati, maka rasakanlah balasan pengkhianatan. Ia balasan dengan kebenaran ALLAH. Ia balasan ALLAH. ALLAH amat membenci para pengkhianat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengkhianat agar segera bertaubat kepada ALLAH SWT.

"Apa-apa pun pintu taubat terus terbuka luas. Bertaubatlah kepada ALLAH.

"Ketahuilah, pintu taubat bukan pintu belakang. Ia pintu hadapan dengan gerbang besar daripada ALLAH yang maha pengasih.

"Umpamanya Pas memasuki Putrajaya melalui hamparan permaidani kuning gerbang besar Istana Negara,” katanya.

Perkongsian itu susulan perkembangan terkini politik negara selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebagai rekod wakil rakyat Pas dan UMNO antara pihak yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa Pas Pusat menegaskan, Kelantan kini bukan lagi sebuah negeri pembangkang.

"Negeri Kelantan bukan lagi negeri pembangkang. Alhamdulillah,” katanya.