Kebakaran paip gas: Rumah ibadat bantu mangsa contoh terbaik

Iklan
Antara mangsa kebakaran saluran paip gas yang ditempatkan di pusat penempatan sementara Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah Puchong hari ini. Foto Bernama

KEJADIAN kebakaran paip gas yang berlaku ketika umat Islam meraikan hari kedua Aidilfitri pada Selasa benar-benar menggemparkan negara.

Menurut laporan muka depan Sinar Harian, api yang marak, letupan dahsyat dan kepulan asap tebal itu telah menyebabkan sebanyak 237 rumah atau premis terjejas, 275 kenderaan dan 57 motosikal terbakar, sementara seramai 67 penduduk pula melecur.

Iklan
Iklan

Mengimbas kembali kronologi insiden tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengesahkan kejadian berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor pada jam 8.23 pagi dan ia telah menjejaskan 305 penduduk secara keseluruhannya.

Kira-kira dua jam selepas itu, 25 mangsa menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala lima yang lain dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan lanjut melibatkan kecederaan seperti luka, melecur dan kesukaran bernafas.

Iklan

Menghampiri jam 11 pagi, mangsa lain yang diselamatkan ditempatkan di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya, berhampiran lokasi kejadian.

Selepas lebih sejam kemudian, Masjid Al-Falah USJ 9 pula dibuka kepada mangsa terjejas untuk berlindung.

Iklan

Dilaporkan juga, Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Height turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sinar Harian ingin mengambil kesempatan memuji tindakan rumah ibadat yang membuka pintu mereka dalam misi memberi bantuan awal kepada mangsa terjejas.

Ia menunjukkan rumah ibadat bukan sahaja tempat untuk melakukan ibadat semata-mata, malah berfungsi menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja memerlukan terutama ketika penduduk ditimpa bencana.

Inilah contoh sebenar perpaduan dan solidariti melangkaui batasan agama serta kaum.

Dalam situasi getir seperti kejadian dahsyat itu, tiada perbezaan yang menjadi penghalang mereka, apa yang ada hanyalah rasa kemanusiaan yang mendalam dan keinginan membantu mereka terjejas.

Kejadian tersebut turut membuktikan peranan penting rumah ibadat dalam masyarakat yang menjadi pusat kebajikan.

Tindakan pantas yang dilakukan mereka harus dijadikan inspirasi kepada semua pihak termasuk organisasi lain untuk bersiap sedia menghadapi bencana dengan semangat membantu tanpa mengira latar belakang.