KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan menasihatkan pengguna media sosial agar tidak memuat naik video atau gambar yang boleh menimbulkan panik serta kekeliruan kepada masyarakat.
Nasihat itu susulan tularnya sebuah video yang memaparkan keadaan banjir di hadapan premis perniagaan, termasuk sebuah klinik di bandar ini, pada Rabu.
Pengarah APM Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, banjir kilat di lokasi tersebut berlaku dalam tempoh kira-kira satu jam selepas hujan lebat bermula awal pagi hari yang sama.
"Orang ramai perlu sentiasa merujuk notis rasmi daripada jabatan berkaitan yang mengeluarkan amaran mengenai banjir atau bencana.
"Potensi berlakunya banjir kilat memang wujud, terutama di kawasan rendah apabila hujan lebat, namun keadaan itu bersifat sementara," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Adzhar turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang bahaya, termasuk ancaman haiwan berbisa serta risiko di kawasan rendah seperti longkang dan semak.
Beliau berkata, banjir kilat boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun orang awam dinasihatkan supaya kekal tenang dan mengelakkan kawasan berisiko.
Mereka juga digalakkan berkongsi maklumat tepat mengenai laluan alternatif yang boleh digunakan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa cerapan jumlah hujan dari Stesen Meteorologi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali pada Rabu mencatatkan sebanyak 280 milimeter (mm).
Amaran ribut petir serta angin kencang pula telah dikeluarkan seawal jam 5.45 pagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan serta Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan kesiapsiagaan dalam mengaktifkan jentera di peringkat jajahan sekiranya berlaku banjir.