Penduduk cemas 'awang besar' muncul di Kuala Gris

Iklan
Tangkap layar sebuah video tular menunjukkan seekor gajah muncul di jalan masuk Kampung Kuala Gris, Kuala Krai pada petang Rabu.

KUALA KRAI – Penduduk di Kuala Gris cemas selepas seekor gajah liar ditemui berkeliaran di jalan masuk ke kawasan kampung itu pada Rabu.

Kehadiran 'awang besar' tersebut disedari oleh penduduk sekitar jam 6 petang semasa melalui jalan berkenaan.

Iklan
Iklan

Imam Masjid Mukim Kuala Gris, Marhadi Muhamad berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Perhilitan akan datang untuk membuat tinjauan di lokasi dan gajah berkenaan sudah masuk ke kawasan hutan berhampiran," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, gajah itu dipercayai keluar ke laluan utama ke Kuala Gris disebabkan kelaparan.

"Penduduk dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar jangkaan jika terserempak dengan hidupan liar tersebut," tambahnya.

Iklan

Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Gris, Badrul Sahudin Majid berkata, susulan kehadiran gajah itu, penduduk kampung dinasihatkan untuk berwaspada dan mengurangkan aktiviti masuk ke kebun buat sementara waktu.

"Ini merupakan kali pertama haiwan tersebut muncul di laluan utama masuk ke kampung berkenaan. Sebelum ini, gajah hanya banyak berkeliaran di sekitar kawasan kebun penduduk sahaja," katanya.