"Selamat kembali Faisal Halim..."
Demikian status yang dimuat naik di laman sosial FIFA World Cup pada Rabu.
Hantaran tersebut turut disertakan beberapa keping gambar tonggak lincah itu yang beraksi dalam perlawanan kompetitif pertama menentang Nepal sejak penampilan terakhirnya ketika menentang Oman dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 26 Mac tahun lalu.
Pemain Selangor FC itu sebelum ini ditampilkan oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, pada separuh masa kedua ketika skuad negara menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac lalu.
Kehadiran semula bekas tonggak Terengganu FC itu bersama skuad negara selepas insiden simbahan asid oleh pihak tidak dikenali pada Mei tahun lalu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Faisal, yang lebih dikenali sebagai Mickey, dalam perlawanan tersebut.
Malah, Mickey mengakui teruja apabila diberikan kepercayaan untuk dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Tiga mata yang diraih Harimau Malaya menentang Nepal menjadi tonik mujarab untuk Faisal dan rakan sepasukan menjelang perlawanan seterusnya menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun depan.