50 tahun tumpang tanah orang, warga emas sebak terima rumah PPRS

Iklan
Rogayah (dua, kiri) sebak menerima kunci rumah PPRS yang disampaikan oleh Noor Hariri (tiga, kanan) di Kampung Slow Teliar, Pasir Mas pada Khamis.

PASIR MAS – Seorang warga emas sebak apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan pada Syawal kali ini, selepas 50 tahun menumpang di tanah orang.

Rogayah Hussein, 73, ibu kepada lima anak dan 10 cucu, hilang kata-kata ketika menerima kunci rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Kampung Slow Teliar di sini, Khamis.

Iklan
Iklan

Penyerahan kunci disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Nor.

"Walaupun pada usia begini baru dapat merasa rumah sendiri, saya sangat bersyukur. Lebih bermakna lagi, saya dapat menyambut Hari Raya di rumah baharu bersama anak-anak serta cucu-cucu.

Iklan

"Saya kini mempunyai tempat tinggal yang selesa untuk menghabiskan sisa hidup dan tidak perlu lagi menumpang di tanah orang,” katanya.

Rogayah turut menzahirkan penghargaan kepada Noor Hariri serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, atas keprihatinan mereka terhadap nasibnya.

Iklan

Dia yang kehilangan suami sejak 25 tahun lalu hanya bergantung pada duit pencen RM300 untuk membesarkan anak-anak.

Menurutnya, pencen suaminya, seorang bekas pengawal keselamatan, hanya cukup untuk keperluan harian, menyebabkan dia tidak mampu membina rumah sendiri.

Sementara itu, Noor Hariri memaklumkan bahawa sepanjang tahun lalu, sebanyak 20 rumah PPRS telah diluluskan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman selesa.

"Pembinaan ini merupakan inisiatif kerajaan dalam usaha meringankan beban penerima.

"Setiap unit rumah dibina dengan kos RM65,000, dan untuk projek kali ini, kita mengutamakan kualiti pembinaan supaya penerima lebih selesa,” katanya.