Urutan tradisional Melayu 'pikat hati' penduduk Kuwait

Iklan
Suraya menganggap pengalaman di Kuwait tidak ubah seperti 'duta kecil' yang memperkenalkan keindahan budaya Malaysia melalui seni sentuhan.

IPOH – Jauh dari tanah air, Suraya Kamarudin, 41, membawa warisan budaya Melayu ke bumi Kuwait dengan memperkenalkan urutan tradisional yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan ekspatriat.

Berbekalkan pengalaman 15 tahun dalam bidang terapi urutan sejak 2010, beliau bersama dua rakan sepasukan, Adweyah Afandi, 45, dan Roselina Che Zainol, 55, terpilih menyertai Little World Kuwait selama tiga bulan bermula 20 November 2024 hingga 1 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Di sana, mereka membuka reruai Malaysian Massage yang dikenali sebagai 'Rumah Malaysia', sekali gus memperkenalkan urutan tradisional Melayu kepada masyarakat setempat.

Anak kelahiran Ipoh itu berkata, perkhidmatan urutan bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk Kuwait kerana negara tersebut mempunyai banyak spa yang menawarkan terapi relaksasi.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, urutan tradisional Melayu mempunyai keunikan dan keasliannya tersendiri kerana teknik yang digunakan menggabungkan terapi fizikal dan pemulihan, yang lebih memberi manfaat kesihatan secara menyeluruh.

"Pada awalnya, mereka menyangka semua urutan adalah sama.

Iklan

"Namun, selepas merasai sendiri teknik yang kami gunakan, mereka mengakui bahawa urutan tradisional Melayu berbeza daripada yang pernah mereka cuba sebelum ini.

Perkhidmatan urutan tradisional Melayu mendapat sambutan luar jangkaan sempena Little World Kuwait yang berlangsung selama tiga bulan bermula 20 November 2024 hingga 1 Mac lepas.

"Mereka tertarik dengan teknik tekanan pada titik tertentu yang membantu melancarkan peredaran darah serta melegakan otot yang tegang.

"Bukan sahaja wanita, malah lelaki juga mula berminat untuk mencuba," katanya kepada Sinar Harian.

Sepanjang berada di Kuwait, Suraya yang merupakan pengamal perubatan tradisional Melayu berdaftar di bawah Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berpeluang membantu ramai pelanggan yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit sendi bahu (frozen shoulder), kesukaran untuk tunduk dan berjalan serta sakit kepala.

Menurutnya, detik paling menggembirakan adalah apabila ramai pelanggan sanggup datang berulang kali semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan urutan secara berterusan.

"Sambutan yang diterima sangat luar jangkaan. Ramai pelanggan datang kali kedua dan ketiga, malah membawa bersama ahli keluarga serta rakan-rakan.

"Beberapa penduduk tempatan juga menunjukkan minat untuk berkolaborasi dengan pasukan saya dan berharap kami membuka sebuah pusat urutan di Kuwait," katanya.

Suraya, yang juga ibu kepada lima cahaya mata dan bertugas sebagai pengamal tradisional postnatal di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kuala Lumpur, mengakui cabaran utama di negara Teluk itu adalah perbezaan bahasa kerana masyarakat tempatan kurang mahir berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau berkata, keramahan penduduk tempatan serta penggunaan teknologi banyak membantunya dan pasukan berkomunikasi dengan lebih baik, terutama dalam memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.

"Tanpa pengetahuan mendalam mengenai masyarakat setempat, potensi industri serta pengalaman bekerja di luar negara, ini adalah satu cabaran besar bagi saya dan pasukan.

"Alhamdulillah, dengan pengalaman mengendalikan pelanggan dan perniagaan di Malaysia, kami berjaya melakukannya," katanya.

Pemilik Pusat Rawatan Tradisional Ar Raudhah di Segambut, Kuala Lumpur itu menganggap pengalaman di Kuwait sebagai peluang berharga untuk memperkenalkan budaya Malaysia melalui seni urutan tradisional.

Menurutnya, sambutan dan sokongan penduduk di sana membuktikan bahawa urutan tradisional masih relevan serta mampu berkembang ke peringkat antarabangsa meskipun perubatan moden semakin maju.

"Di sana, kami turut memperkenalkan produk berasaskan gamat yang menjadi warisan turun-temurun masyarakat Melayu, antaranya minyak, gel dan jeli gamat.

"Siapa sangka, produk ini turut menarik perhatian masyarakat Kuwait kerana kaedah perubatan seperti ini tidak begitu biasa dalam kalangan mereka," katanya.