MERSING – Seorang pengawal keselamatan masih trauma selepas rumahnya ranap dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kampung Sawah Datuk, di sini, sehari sebelum Aidilfitri.
Mohamad Alim Mahroji, 35, mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki akibat insiden itu.
Menurutnya, kejadian berlaku awal pagi ketika dia sedang membuat persiapan Aidilfitri serta menyiapkan barangan untuk isteri yang sarat mengandung sekiranya perlu bersalin.
"Saya ingatkan berlaku gempa bumi apabila siling dan dinding rumah tiba-tiba runtuh. Ketika itu, anak bongsu saya berusia enam tahun sedang tidur di ruang tamu.
"Isteri serta dua anak lagi berada di dalam bilik. Saya pula tertimpa papan dan batu tetapi bersyukur kerana dapat keluar dan menyelamatkan anak saya,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Alim mengakui tiada pilihan selain terus menetap di rumah pusaka tersebut.
"Saya sudah menghuni rumah ini lebih 10 tahun. Akibat insiden itu, struktur kediaman kini terjejas teruk dan hanya menunggu masa untuk runtuh.
"Selain rumah, dua kereta keluarga kami, Perodua Kenari dan Proton Wira, turut musnah dalam kejadian itu.
"Dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, saya buntu memikirkan cara untuk membaik pulih rumah ini. Semoga kami diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 1510-9858-8973 atas nama Mohamad Alim.
Sebelum itu, pada Ahad lalu, sebuah bas ekspres dari Johor Bahru menuju ke Terengganu terbabas dan melanggar sebuah rumah di tepi jalan selepas cuba mengelak sebuah kereta dalam kejadian awal pagi di Kilometer 6, Jalan Endau-Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu sekitar jam 1.15 pagi.